Hanya mahu pastikan masyarakat ikut SOP

Mohd Ariff membuat pemeriksaan kenderaan yang melalui Tol Ainsdale, pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Ariff Md Hanuddin
Mohd Ariff membuat pemeriksaan kenderaan yang melalui Tol Ainsdale, pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Ariff Md Hanuddin
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan berharap masyarakat tidak terguris dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan pihaknya dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang perayaan Aidilfitri.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri Sembilan, Asisten Komisioner, Mohd Ariff Md Hanuddin berkata, pelbagai pendekatan digunakan antaranya pemeriksaan kenderaan di rumah-rumah hanyalah mahu memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Saya tahu ziarah itu budaya kita. Tapi kita kena hadkan kehadiran orang pada satu-satu masa kerana nak elakkan penularan Covid-19.

"Lagipun saya tak rasa semua orang sediakan QR Qode di rumah. Jadi kalau ada kes macam mana kita mahu kesan puncanya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program 'Outreach' Masyarakat Pengguna Jalan Raya dan Petugas Barisan Hadapan Kontinjen Negeri Sembilan di Plaza Tol Ainsdale di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, pemeriksaan lebih teliti akan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad menjelang perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan aktiviti pergerakan rentas negeri.

Katanya, pergerakan orang ramai lebih banyak berlaku pada hari berkenaan antaranya untuk pergi membeli belah.

"Hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran saja bagi urusan pekerjaan, perdagangan, kebajikan, kematian dan temu janji doktor saja dibenarkan.

"Negeri Sembilan ini banyak jalan pintu masuk dari Melaka, Selangor dan Kajang. Jadi kita perlu lebih tegas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam tempoh 13 April hingga 29 April lalu, sebanyak 644 kenderaan diarah berpatah balik dalam pemeriksaan SJR dilakukan manakala empat kompaun ingkar SOP dikeluarkan.

Pemeriksaan melibatkan sebanyak 137,846 buah kenderaan dan 187,200 individu.