Kesilapan mudah buat Melaka United berputih mata

Antara aksi menarik perlawanan Melaka United menentang Kedah Darul Aman di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. - Foto: Facebook Melaka United Football Club
Antara aksi menarik perlawanan Melaka United menentang Kedah Darul Aman di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. - Foto: Facebook Melaka United Football Club
A
A
A

KETUA Jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mengingatkan anak buahnya agar mengambil iktibar daripada kesilapan mudah dilakukan selepas tumpas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

Episod kekalahan tersebut adalah yang ketiga berturut-turut di laman sendiri setelah tuan rumah dilihat tidak mampu menahan asakan demi asakan pelawat terutamanya pada babak kedua perlawanan.

"Pada separuh masa pertama, selepas ketinggalan mereka bangkit untuk samakan kedudukan dan masih mendominasi permainan, tetapi apabila lihat kembali gol-gol yang dilepaskan pada separuh masa kedua, ia akibat kesilapan mudah.

"Sudah berkali-kali saya ingatkan dan tegaskan kepada para pemain supaya tidak ulang kesilapan sama kerana kita tahu sukar untuk dapatkan jaringan. Apa pun saya mahu para pemain ambil satu semangat baharu untuk bangkit pada perlawanan seterusnya dan perbaiki kesilapan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Terdahulu dalam aksi itu, skuad Hijau Kuning menang bergaya ke atas tuan rumah menerusi dua jaringan Kpah Sherman yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-17 dan minit ke-62 sebelum Baddrol Bakhtiar melengkapkan gol ketiga Kedah pada minit ke-86.

Gol tunggal skuad Hang Tuah pula diperolehi menerusi jaringan Stefan Nikolic juga menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-37 yang mengikat kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak gembira dan berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas melihat tentangan sengit daripada Melaka United sebelum berjaya memastikan tiga mata berjaya dibawa pulang ke negeri itu.

Katanya, tumpuan utama pasukan untuk terus mempertingkatkan permainan berikutan aksi seterusnya di hadapan penyokong dan stadium sendiri bagi perlawanan bertemu kelab gah seperti Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menyaksikan Kedah mendaki ke kedudukan kedua liga selepas mengumpul 23 mata manakala Melaka United kekal di tangga kelapan dengan sepuluh mata. - Bernama