X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Tanggapan vaksin untuk kanak-kanak jadikan orang ramai sangsi: Pakar

Tanggapan umum vaksinasi hanya dikaitkan dengan golongan kanak-kanak menyebabkan ramai rakyat Malaysia masih berasa sangsi dengan vaksinasi Covid-19. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Tanggapan umum bahawa budaya vaksinasi biasanya hanya dikaitkan dengan golongan kanak-kanak, menyebabkan ramai rakyat Malaysia masih berasa sangsi dengan vaksinasi Covid-19, kata pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi & Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Masita Arip.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia kini perlu membiasakan diri dengan budaya menerima vaksin bagi menjamin rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.

Katanya, di Malaysia biasanya apabila sebut sahaja mengenai vaksin, ia sering dikaitkan dengan kesihatan kanak-kanak, jadi apabila negara berhasrat memberikan vaksin kepada hampir seluruh populasi atau 80 peratus penduduk negara, ia mengejutkan ramai.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk ‘Vaksin vs Covid-19: Mana lebih Mudarat?' menurut Science Media Centre Malaysia (SMC) dalam satu kenyataan pada Sabtu. Sesi webinar itu disiarkan secara langsung di akaun Facebook SMC, baru-baru ini.

Sementara itu Dr Masita berkata, terdahulu penerima vaksin harus bersikap jujur kepada pegawai kesihatan yang menyaring sebelum mereka mendapat suntikan, bagi memastikan vaksin yang diterima itu selamat dan berkesan.

“Jadi kalau pegawai kesihatan bertanya mengenai latar belakang kesihatan, maka kita perlu jujur dan jangan berbohong. Kalau selepas disaring dan didapati tidak dibenarkan mendapatkan suntikan pada hari berkenaan, ia tidak bermaksud mereka tidak layak untuk divaksinasi. Ini kerana kita hendak pastikan bahawa mereka yang menerima vaksin itu stabil serta untuk mengelakkan tindak balas imun bercampur,” katanya.

Menurut pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Adeeba Kamarulzaman pula, kesan sampingan yang dialami penerima vaksin merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh seseorang individu.

“Malah, ia merupakan petanda positif, yang bermakna tubuh penerima sedang bertindak balas dengan vaksin, namun jika seseorang itu tidak mendapat kesan sampingan vaksin, ia juga tidak bermaksud tubuh badan seseorang itu tidak memberikan respons terhadap vaksin.

“Ini kerana kesan sampingan adalah berbeza mengikut setiap individu,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!