Gandingan sahabat baik hasilkan snek organik 'cravia'

Pengeluar makanan ringan Nini Dzuraini Abdullah bersama produk makanan ringan kerepek lobak merah 'Cravia'. - Foto Bernama
Pengeluar makanan ringan Nini Dzuraini Abdullah bersama produk makanan ringan kerepek lobak merah 'Cravia'. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Dalam usaha menggalakkan amalan pemakanan sihat, cetusan idea kolaboratif dua sahabat baik Nini Dzuraini Abdullah dan Noorul Halimin Sabran telah menghasilkan snek Cravia berasaskan lobak merah, bertapak hampir tiga tahun dalam pasaran tempatan.

Menerusi syarikat pengeluar makanan ringan, Oishiy Rich Empire yang diusahakan mereka, snek tersebut mengandungi kombinasi 80 peratus lobak merah, 20 peratus tepung dan gula stevia, garam serta pewarna makanan dibenarkan.

Pengurusnya, Nini Dzuraini, 51, berkata perniagaan diusahakan bersama rakan kongsinya itu tidak menggunakan monosodium glutamate (MSG), perasa tiruan dan bahan pengawet dalam menghasilkan kerepek berkenaan.

"Kita mahu galakkan masyarakat ambil snek lebih baik yang berasaskan sayur-sayuran selain tidak mengandungi kalori tinggi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, pada masa ini, Oishiy Rich Empire mencatatkan nilai jualan sebanyak RM20,000 hingga RM25,000 sebulan dan pendapatan mampu mencecah RM40,000 apabila tiba musim perayaan.

Jelasnya, perniagaan mereka itu mendapat bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), MARDI dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Susulan sambutan mengalakkan, Nini Dzuraini berkata syarikat menyasarkan jualan RM650,000 menjelang akhir tahun ini serta optimis meraih jualan sehingga RM1 juta apabila kelengkapan mesin dapat disediakan pada tahun depan.

Katanya, snek berkenaan dihasilkan dengan tiga jenis perisa iaitu asli, cheese dan pedas yang dijual pada harga RM3.80 bagi 30 gram, RM17 (200 gram) dan RM27 bagi 500 gram.

Artikel Berkaitan:

Pengeluar makanan ringan Nini Dzuraini Abdullah menunjukkan kepingan kecil makanan ringan kerepek lobak merah 'Cravia'. - Foto Bernama
Pengeluar makanan ringan Nini Dzuraini Abdullah menunjukkan kepingan kecil makanan ringan kerepek lobak merah 'Cravia'. - Foto Bernama

Ditubuhkan pada 2018 dengan modal sendiri sebanyak RM20,000, syarikat itu terus berkembang dan kini turut memasarkan snek muruku jenama Minys sebagai pendapatan tambahan syarikat yang dijual pada harga RM9.50 bagi 150 gram, RM17 (300 gram) dan RM22 bagi 500 gram.

Oishiy Rich Empire yang terletak di Balai Informasi Pertanian, Lenggeng, mempunyai lima pekerja dan beroperasi setiap hari kecuali Ahad bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Beliau berkata produk Cravia dan Minys boleh menerusi enam stokis dan 55 ejen yang dilantik antaranya Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang atau menerusi pembelian secara dalam talian di platform Shopee serta website rasmi syarikat craviaminys.com.

Selain itu pelanggan juga boleh mendapatkan produk berkenaan di Malakat Mall, Cyberjaya dan kedai Mesra Petronas khususnya di sekitar Negeri Sembilan manakala pelanggan berhampiran boleh hadir ke tempat operasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. - Bernama