X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Lelaki Malaysia antara sembilan kes komuniti di Singapura

MOH Singapura melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 41 tahun antara sembilan kes jangkitan tempatan Covid-19. - Foto 123RF
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 41 tahun antara sembilan kes jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di sini pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan malam tadi (Jumaat), MOH memaklumkan lelaki itu merupakan kontak kepada kes 62638, seorang wanita pemastautin tetap Singapura, bertugas sebagai pekerja pembersihan yang ditempatkan di sebuah kemudahan rawatan komuniti di Tuas South.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Kluster Kes 62553 yang melibatkan seorang wanita warga Vietnam berusia 39 tahun yang juga pekerja pembersihan di kemudahan rawatan komuniti yang sama, menurut MOH.

Kementerian itu memberitahu, rakyat Malaysia itu mengalami demam dan batuk pada 28 April dan mendapatkan rawatan perubatan di klinik Pakar Am sebelum diuji positif Covid-19.

Oleh kerana lelaki terbabit dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada Kes 62553, kementerian menjelaskan lelaki itu telah dihubungi dan dikuarantin.

“Dia dilaporkan mengalami gejala dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Khoo Teck Puat. Keputusan ujian kembali positif dijangkiti Covid-19 pada 29 April. Ujian serologinya adalah negatif,” menurut MOH.

Lelaki berkenaan bekerja sebagai pembantu jualan di New Odense(s) Confectionery & Bakery.

Mengenai kluster Kes 62541 yang dikaitkan dengan seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), kementerian menjelaskan empat lagi kes yang disahkan dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13.

Setakat 12 tengah hari Jumaat, 24 kes baharu direkodkan di Singapura termasuk 15 kes import, menjadikan jumlah kepada 61,145 kes.

Terdapat sembilan kluster Covid-19 di republik itu setakat ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!