Kerajaan sedang kaji perintah gaji minimum 2020: Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perutusan Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan sedang menjalankan kajian semula perintah gaji minimum 2020.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu itu mengambil bahagian melalui platform disediakan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan akan berusaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio ekonomi semasa.

"Kerajaan juga dalam proses untuk menambahbaik dan meminda undang-undang perburuhan seperti Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop kepada semua pekerja dalam sektor swasta.

"Ia tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti ‘paternity’ selama tiga hari, menambahbaik amalan kerja dan kehidupan yang lebih seimbang melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel," katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Pekerja pada Sabtu.

Melalui ucapan Hari Pekerja yang bertemakan 'Pembudayaan Norma Baharu dalam Dunia Pekerjaan Sejagat', Muhyiddin berkata, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran.

Menurutnya, ia bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam mempersiapkan kebolehpasaran untuk pekerjaan masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun banyak institusi latihan terpaksa ditutup berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan dan program latihan secara modular dan kelayakan mikro diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai salah satu usaha pendigitalan oleh kerajaan, hab e-pembelajaran baharu yang dikenali sebagai e-latih telah dibangunkan.

“Untuk membolehkan rakyat Malaysia mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran yang disediakan berdasarkan keperluan industri Malaysia,” katanya.