Rakyat Syria perlu bantuan

Sinar Live bersama Siti Sakinah (kanan) membicarakan topik ‘Wajah Di Sebalik Syria Care’ yang dikendalikan Dinnie Asyraf di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Sinar Live bersama Siti Sakinah (kanan) membicarakan topik ‘Wajah Di Sebalik Syria Care’ yang dikendalikan Dinnie Asyraf di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM- Pada 15 Mac lalu genap 10 tahun perang saudara dan konflik di Syria yang telah mengorbankan lebih 500,000 rakyat negara itu sehingga kini.

Rakyat Syria masih menerima impak daripada konflik berkenaan dalam kehidupan mereka dan kini turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, seramai 4 juta penduduk di utara Syria mengalami keadaan sesak dan tidak mempunyai infrastruktur lengkap ketika musim pandemik Covid-19 berlaku di seluruh negara.

“Selama sedekad ini, meskipun berdepan dengan penderitaan, mereka hanya mahu untuk meneruskan kehidupan dan hak-hak asasi mereka terpelihara. Malahan kanak-kanak di Syria ingin pergi ke sekolah.

“Kanak-kanak Syria mahu ke sekolah untuk belajar dan bermain tetapi semuanya seolah-olah telah dirampas daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Wajah Di Sebalik Syria Care’ yang dihoskan oleh Dinnie Aysraf Salim dan disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Dalam pada itu, ketika negara-negara lain mengalami pandemik Covid-19, Syria turut tidak terkecuali menerima kesan dengan pandemik tersebut.

Namun begitu, Covid-19 bukan ancaman yang terbesar bagi mereka kerana apa yang penting ialah untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

“Mereka berjuang untuk mendapatkan tempat tinggal meskipun tiada makanan. Walaupun Covid-19 itu wujud tetapi mereka tidak meletakkan ia sebagai keutamaan.

“Dalam tempoh 10 tahun ini mereka telah diserang daripada pelbagai sudut. Mereka juga diserang dengan pelbagai jenis senjata dan ada senjata yang dilarang di peringkat antarabangsa, senjata kimia, roket dan bom,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang terselamat sedang memikirkan untuk berjuang meneruskan kehidupan dan tidak lagi risau mengenai Covid-19 ini.

Katanya, sewaktu melaksanakan Misi Kemanusiaan Syria Care 12.0 pada Mac lalu, Syria Care telah mengagihkan makanan di sana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Namun ada seorang wanita memberitahu saya bahawa tidak perlu memakai pelitup muka di sana (Syria) kerana tiada Covid-19.

“Walaupun perkara ini (Covid-19) satu ancaman di peringkat global tetapi mereka mempunyai perkara lain yang lebih utama iaitu nyawa mereka, keperluan makan minum dan tempat tinggal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak hospital tetap memberi kesedaran kepada mereka dari masa ke masa dan mengajar mereka mengenai bahaya Covid-19.

Tambah beliau, walaupun sumbangan semakin berkurangan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, pihaknya tetap berusaha untuk menghantar bantuan.

“Pada Ramadan 2019, kami dapat menghantar bantuan bernilai RM6.8 juta lebih tetapi pada tahun 2020, bantuan yang kami berikan bernilai RM3.5 juta sahaja,” katanya.

Kampung Malaysia untuk pelarian Syria

Selain itu, Siti Sakinah berkata, Syria Care melaksanakan satu projek perumahan yang dijalankan secara wakaf untuk pelarian Syria yang bertempat di perkampungan Al-Bardaqli, terletak tiga kilometer dari sempadan Turki.

SITI SAKINAH
SITI SAKINAH

“Projek perumahan tersebut diberi nama Kampung Malaysia dan kami berbangga dapat membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Kami akan membina 292 buah rumah di kawasan itu dan dilengkapi kemudahan sekolah rendah dan menengah serta tadika. Kami juga membina masjid, pusat perubatan yang merangkumi klinik dan pusat fisioterapi yang kita pindahkan ke perkampungan Malaysia,” katanya.

Katanya, Syria Care juga menyediakan kiosk yang dikenali sebagai Suk Barakah untuk membolehkan mereka berniaga dan kemudahan tangki serta telaga yang dikenali sebagai Fatimah.

Dalam pada itu, Syria Care juga mempunyai projek jangka panjang dalam bidang pendidikan iaitu menjadikannya sebagai keutamaan dengan menyediakan pendidikan yang holistik untuk kanak-kanak.

“Mereka bukan sekadar pergi ke sekolah untuk belajar tetapi kami juga akan membantu memulihkan trauma mereka.

“Saya berjumpa seorang kanak-kanak yang menceritakan dia melihat ayahnya disembelih di hadapannya, bayangkan trauma yang dia terpaksa lalui,” katanya.

Beliau berkata, Syria Care mewujudkan sekolah di Akrabat yang diberi nama Ulfah yang akan memberikan pendidikan secara percuma kepada kanak-kanak khususnya anak yatim yang berada di sekitar kawasan itu.

Siti Sakinah berkata, sempena Ramadan, Syria Care melancarkan Order Food menerusi Kempen Ramadan Al-Khair iaitu mengambil tempahan makanan secara dalam talian melalui platform www.oderfood.my dan makanan akan terus dihantar ke Syria.

“Platform ini menyediakan dua jenis pesanan antaranya set iftar yang mana satu set iftar yang berharga RM15 boleh memberi makan untuk tiga orang.

“Kami juga menyediakan pek makanan yang mengandungi antara lain beras, gula, teh, spageti, pes tomato dan lain-lain keperluan berharga RM150 untuk satu keluarga, jadi ada dua pilihan yang kita sediakan,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, dapur yang menyediakan makanan daripada awal Ramadan sehingga kini boleh beroperasi enam kali sehingga penghujung Ramadan.

“Sebelum ini, sebanyak 2,000 set makanan iftar sahaja dan kini hanya boleh menyediakan 500 pek sahaja.

“Ada dapur yang boleh beroperasi sehingga 20 Ramadan sahaja serta berkemungkinan ada dapur yang tutup operasinya kerana kekurangan dana. Mereka sangat mengharapkan bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, Syria Care menyeru orang ramai bersama-sama membantu penduduk Syria.