Tahap kebajikan pekerja kurang memuaskan

Ramai pekerja di Malaysia masih menghadapi tekanan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. (Gambar hiasan)
Ramai pekerja di Malaysia masih menghadapi tekanan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. (Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM - Tahap kebajikan dan kesejahteraan pekerja Malaysia masih berada dalam keadaan yang kurang memuaskan terutamanya dalam aspek kesihatan dan keselamatan.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ramai pekerja di Malaysia masih tidak diberikan perlindungan yang mencukupi dalam dua aspek tersebut.

“Kebajikan dan kesejahteraan para pekerja di negara kita masih tidak memuaskan.

“Sungguhpun kita telah mencapai kemerdekaan lebih 65 tahun, namun kita masih dengar tentang berlakunya penindasan dan eksploitasi yang dilakukan di tempat kerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

Lam Thye yang juga bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) berkata, ramai pekerja di Malaysia masih menghadapi tekanan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah kesihatan mental yang merupakan faktor penting bagi kesejahteraan seseorang.

“Soal berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan mental sangat penting.

“Kita hari ini tahu ramai dalam kalangan mereka (pekerja) menghadapi banyak tekanan di tempat kerja dan juga tekanan-tekanan lain.

Artikel Berkaitan:

“Malah ada dalam kalangan pekerja yang tidak tahu macam mana nak kawal tekanan itu dan tanganinya.

“Jadi soal pendidikan kesejahteraan mental ini juga harus diteruskan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berpendapat masih banyak yang perlu dilakukan oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan pekerja di seluruh negara.

Tegas Lam Thye, tanggungjawab itu juga tidak terkecuali kepada pekerja di Malaysia dengan meningkatkan lagi kesedaran mengenai hak mereka untuk mendapatkan perlindungan keselamatan dan kesihatan yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan diri.

“Maksud saya ialah tahap kesedaran dalam kalangan pekerja perlu dipertingkatkan lagi, hak mereka terhadap keselamatan diri harus dipertingkatkan.

“Malah pihak majikan juga perlu memberi peluang kepada staf dan kakitangan mereka untuk mendapatkan latihan keselamatan di tempat kerja,” jelasnya.