Rayuan calon Parlimen Kimanis dibenarkan

Karim
Karim
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan kes petisyen pilihan raya yang difailkan Karim Bujang, calon Parti Warisan Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mencabar kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk dibicarakan.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah membuat keputusan itu selepas mendapati rayuan yang dikemukakan Karim mematuhi Akta Petisyen 1954.

Korum itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Alizatul Khair Osman Khairuddin; Rohana Yusuf; Tengku Maimun Tuan Mat; dan Datuk Nallini Phatmanathan.

Korum itu turut memerintahkan Anifah selaku responden membayar kos sebanyak RM50, 000 kepada Karim selaku perayu dan menetapkan Rabu ini sebagai sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Karim diwakili peguan Frederick Chang Tyn Chi dan Syaiful Sufyyan Sidin manakala Anifah diwakili peguan Ansari Abdullah dan Tengku Ahamd Fuad Tengku Ahmad.

Pada 19 November 2018 Mahkamah Tinggi menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Karim selepas membenarkan permohonan penyandang kerusi Parlimen Kimanis untuk membatalkan petisyen berkenaan.

Anifah ketika itu mengemukakan tujuh alasan mengikut Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA)1954 yang mendakwa gagal dipatuhi Karim.

Anifah memenangi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding Karim (Warisan) dan Jaafar Ismail (Harapan) yang masing-masing memperoleh 11,786 undi dan 1,300 undi.

Artikel Berkaitan: