Akta baharu lantik jawatan utama kerajaan perlu digubal

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu digubal bagi tujuan penambahbaikan pelantikan dan pemecatan pegawai jawatan utama kerajaan yang kini didakwa dikawal menerusi pengaruh eksekutif khususnya Perdana Menteri.

Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, cadangan itu disenaraikan menerusi laporan penyelidikan yang disediakan oleh penyelidik yang juga peguam cara, Lim Wei Jiet bawah naungan BERSIH 2.0.

Menurutnya, cadangan tersebut menggariskan beberapa perkara dan antara elemen paling utama yang perlu dimasukkan dalam akta baharu adalah melantik Panel Penasihat Penilaian yang bebas dan diketuai oleh pertubuhan masyarakat sivil untuk menemu bual dan mengesyorkan calon jawatan utama kerajaan.

“Elemen Panel Penasihat Penilaian itu dimasukkan agar semua kementerian menubuhkan panel tersebut serta menyenaraikan kriteria-kriteria sebagai garis panduan memilih calon bagi jawatan berkaitan.

“Seperti isu sekarang, jawatan Ketua Polis Negara (KPN), menerusi audio percakapan (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin) itu merujuk kepada ‘ini budak kita’. Itu tidak sepatutnya menjadi kriteria pemilihan KPN.

“KPN perlu berkhidmat secara profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak demi berkhidmat untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita menerusi sidang video pada Taklimat Media Mengenai Reformasi Pelantikan Pegawai Utama Kerajaan dan Badan Kehakiman, pada Jumaat.

Pada taklimat berkenaan, Wei Jiet menjelaskan, Panel Penasihat Penilaian berperanan menyenarai pendek setiap calon untuk disyorkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP), seterusnya dibawa ke peringkat parlimen.

Edaran laporan kepada media juga menggariskan cadangan agar RUU tersebut mewajibkan menteri untuk melantik calon yang berjaya dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya jawatan utama ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan undang-undang, menteri akan menasihati Yang di-pertuan Agong untuk melantik calon yang berjaya.

Dalam pada itu, BERSIH 2.0 juga menggesa proses pelantikan hakim di kedua-dua mahkamah tinggi dan mahkamah rendah ditambah baik bagi memastikan para hakim dilantik berdasarkan merit, tidak diskriminasi dan bebas.

Kertas kajian yang ditulis oleh penyelidik dan peguam, Serene Lim bawah naungan BERSIH 2.0 antara lain mendedahkan bahawa, walaupun proses pelantikan kehakiman telah ditambah baik beberapa tahun belakangan ini dengan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009, namun masih ada banyak ruang penambahbaikan bagi memelihara kebebasan proses tersebut.

Justeru, turut dicadangkan adalah Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memberikan JAC status perlembagaan dan komposisi sembilan ahli JAC memerlukan penstrukturan semula.