Tutup bazar: Peniaga boleh kemuka cadangan berniaga di lokasi lain

Rozali (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat task force pengurusan krisis Covid-19 selepas menerima surat daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat mengenai arahan penutupan bazar Ramadan.
Rozali (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat task force pengurusan krisis Covid-19 selepas menerima surat daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat mengenai arahan penutupan bazar Ramadan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua tapak bazar Ramadan di Taman Bertam Indah di Kepala Batas dan Jalan Tenggiri, Seberang Jaya ditutup selama tiga hari seperti keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat task force pengurusan krisis Covid-19 selepas menerima surat daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat.

Menurutnya, beberapa ketetapan telah dibuat termasuk memberi peluang kepada peniaga yang terlibat untuk mencadangkan lokasi lain bagi menjalankan perniagaan yang dipersetujui oleh penganjur dan MBSP.

"MBSP boleh memberi kebenaran kepada penganjur untuk beroperasi di tempat baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Hanya seorang daripada satu keluarga yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan bazar, penganjur dikehendaki melantik petugas tambahan untuk memastikan pengunjung tidak bersesak-sesak di meja jualan dan memastikan SOP yang diamalkan sebelum ini terus dilaksanakan sepanjang beroperasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rozali berkata, penganjur perlu menjalankan kerja-kerja disinfeksi pada 2 Mei ini dan sekiranya menghadapi masalah untuk melakukannya mereka boleh mendapatkan bantuan MBSP.

Pada masa yang sama, beliau menyeru agar orang ramai khususnya pengunjung bazar Ramadan agar mematuhi SOP yang ditetapkan agar arahan penutupan ini tidak berulang di lokasi lain.

"Ini pengajaran untuk kita, justeru, marilah kita bertekad untuk bersama memutuskan rantaian Covid-19 melalui pematuhan SOP yang ketat ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebanyak lima buah bazar Ramadan ditutup bermula Ahad ini.

Pengarah Bahagian Perlesenan MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, lima bazar terbabit ialah, Bazar Ramadan Kampung Melayu; Bazar Ramadan Taman Tun Sardon; Bazar Ramadan Masjid Daerah Barat Daya; Bazar Ramadan Bukit Gedung dan sebuah bazar Ramadan di kawasan Barat Daya.

"Tindakan penutupan bazar-bazar lain akan dilaksanakan sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi.

"Pihak MBPP memandang serius perkara ini dan akan mempergiatkan lagi operasi pemeriksaan SOP ke atas bazar-bazar sekitar kawasan pulau," katanya.