Warisan tak boleh larang Bersatu masuk Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media pendiriannya mengenai hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media pendiriannya mengenai hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata partinya tidak boleh melarang kemasukan Bersatu ke Sabah.

Bagaimanapun, tegas beliau Warisan mempunyai matlamat dan hala tuju yang sangat jelas.

“Kami telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum dan selepas pilihan raya, kami membentuk kerajaan persekutuan bersama-sama dan kami akan terus menjalin kerjasama dengan mereka demi kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, mengumumkan keputusan parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan lima Anggota Parlimen dan lapan Anggota Dewan Undangan Negeri yang keluar UMNO Disember lepas, menyerahkan permohonan untuk menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee juga mengesahkan kira-kira 100,000 bekas anggota UMNO bersedia untuk menyertai Bersatu.

Mohd Shafie berkata beliau turut menyedari perasaan penyokong parti dan juga rakyat Sabah berhubung keputusan Bersatu.

“Nasihat saya bukan untuk beremosi tetapi tetap fokus untuk membangunkan negeri bagi manfaat rakyat Sabah. Memimpin Sabah dengan sebaik mungkin dan memastikan hak-hak kita dikembalikan semula dan disahkan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi keutamaan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie juga berkata rakyat Sabah telah memberi mandat kepada Warisan untuk mentadbir Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Mereka telah jemu dengan kerajaan pimpinan UMNO-BN dan mahukan perubahan yang lebih baik. Kami menghormati mandat yang diberi dan akan terus mentadbir kerajaan negeri sebaik mungkin bagi memastikan apa yang dimahukan oleh rakyat Sabah dari segi pembangunan serta peluang pekerjaan. Ini yang telah dijanjikan, dan kami akan memastikan ia terlaksana,” katanya. - Bernama