Lelaki didenda RM40,000 miliki 14 salinan video cetak rompak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai membaiki peralatan karaoke didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memiliki 14 salinan langganan muzik video cetak rompak bagi tujuan jualan.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Wei Teck, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah premis, Jalan Danau Saujana, Taman Danau Kota, Setapak di sini pada 12 tengah hari, 26 April lepas.

Lelaki itu didakwa memiliki 14 salinan muzik video hak cipta Hup Hup Sdn Bhd dan Rock Records Sdn Bhd bagi tujuan jualan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan atau kedua-duanya.

Peguam Hairul Anwar Hairudin yang mewakili Chong memohon denda minimum atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga. manakala Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Khatijah Abdul Rajah berkata perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian kepada semua pihak dan kerajaan memandang serius kesalahan itu kerana ia akan menjejaskan imej serta membunuh industri kreatif negara.

Di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan wanita Noorhidayu Abdullah, 34, didenda RM15,000 atau dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah memalsukan cap dagangan bagi 20 unit alat pelurus rambut di premisnya di Plaza GM, Lorong Haji Taib 5 di sini pada 1.30 tengah hari, 13 Ogos 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 99(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Noorhidayu membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDNHEP, M. Jesuthasen Nair manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: