Agong, permaisuri zahir takziah kepada keluarga ADUN Melor

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof berikutan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor itu akibat serangan jantung, pada pagi Jumaat.

Ucapan sama turut dizahirkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham bersabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham sebagai wakil rakyat dan ADUN Kelantan kepada masyarakat dan negara.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," titah Seri Paduka Baginda berdua dalam kenyataan itu.

Md Yusnan, 53, yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan sejak tahun 2013 menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.28 pagi di kediamannya di Melor.

Sebelum dipilih sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham merupakan bekas pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Maghribi. - Bernama

Artikel Berkaitan: