X

Kindly register in order to view this article
!

TNB sumbang katil, tilam kepada pelajar maahad

Burhanuddin (dua dari kanan) menyerahkan sijil kepada Shuaib (kanan) pada Jelajah Sinar TNB Prihatin Cahaya Ramadan 2021 di Kampung Batu Menunggul, Pendang pada Khamis.
A
A

PENDANG - Pelajar Maahad Tahfiz dan Rumah Anak Yatim Darul Mustafa Batu Menunggul di sini kini dapat tidur dengan lebih selesa apabila menerima sumbangan set katil dan tilam melalui bantuan agihan balik zakat warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mudirnya, Shuaib Samsudin, pihaknya berterima kasih kepada TNB dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atas sumbangan set katil dan tilam dianggarkan bernilai RM15,870 hasil agihan balik bayaran zakat berkenaan.

"Alhamdulillah, keseluruhan pelajar maahad tahfiz ini lebih kurang 70 orang termasuklah 30 daripadanya pelajar perempuan kini dapat menjalani kehidupan lebih selesa di sini.

"Sebelum ini, pelajar perempuan di maahad tahfiz ini tidur dalam keadaan kurang lengkap apabila tidur atas tilam tetapi berkatilkan lantai sahaja," katanya pada Jelajah Sinar TNB Prihatin Cahaya Ramadan 2021 di Kampung Batu Menunggul Pendang di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Bahagian Agihan Balik LZNK, Burhanuddin Ahmad mewakili Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman dan Pegawai Zakat Daerah Pendang, Hamidi Mat Nor.

Katanya, sumbangan berkenaan memberikan sinar kepada mereka untuk meraikan Aidilfitri, sekali gus mendoakan TNB dan LZNK serta seluruh pembayar zakat bertambah maju dan sentiasa diberkati Ilahi.

Sementara itu, Pengurus TNB Kedah, Wan Ishak Soeb berkata, warga kerja TNB membayar wang zakat sebanyak RM 740,031.60, yang mana daripada jumlah itu sebanyak RM15,870 agihan balik zakat disumbangkan kepada maahad berkenaan berupa set katil dan tilam.

Tambah beliau, TNB melalui Pelitawanis TNB yang dipengerusikan oleh Siti Safinaz Kamarudin juga telah menyalurkan RM 92,503.95 agihan balik zakat dengan kerjasama LZNK, termasuklah tajaan food bank sebuah masjid.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!