Malang bertimpa-timpa...

Keluarga malang ini terpaksa menumpang apabila kediaman mereka musnah. Gmabr kecil: Roslina
A
A

DUNGUN - Dugaan berganda bagi ibu anak empat yang menghidap pelbagai penyakit kronik apabila kediaman keluarganya di kampung Pinang Baru, musnah dalam kebakaran, semalam.

Rumah PPRT yang didiami Roslina Suhaimi, 37 bersama keluarga sejak hampir 20 tahun lalu musnah dalam musibah yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi.

Katanya, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangan dan dokumen penting tidak sempat diselamatkan.

Menurutnya, walaupun hilang tempat berlindung dia bersyukur kerana dua anak yang sedang tidur di dalam rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

"Sewaktu kejadian saya berada di luar rumah, manakala dua anak berusia 10 dan 12 sedang tidur, manakala suami Ramli Malik keluar bekerja.

"Dua anak tidak ke sekolah kerana kurang sihat dan ketika tersedar api sudah marak.

"Apabila melihat api besar datang dari arah meter elektrik, saya segera mengejutkan anak-anak untuk menyelamatkan diri," katanya.

Kata wanita malang itu, musibah berkenaan ujian berat buatnya, tambahan pula dia kini sedang menjalani rawatan kerana menghidap pelbagai penyakit kronik.

"Saya mengalami masalah saraf, saluran darah tersumbat, jantung dan darah tinggi.

"Buat masa sekarang perlu berulang-alik ke hospital dan sekarang musibah lain pula menimpa," katanya.

Jelasnya, mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah ibu mertua di kampung Padang Pulut.

"Tak tahu ke mana nak pergi dan buat sementara waktu terpaksa tinggal bersama keluarga mertua,"katanya.

Bagi yang ingin membantu ringankan beban keluarga ini boleh salurkan terus ke akaun BSN 1100741000082174 atas nama Ramli Malik.