E-Scroll dapat atasi masalah ijazah palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti (e-Scroll) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan pada November tahun lepas dapat menangani kegiatan ijazah palsu dengan lebih berkesan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata UTM sudah mempunyai sistem untuk penyemakan graduan lepasan UTM seperti e-Scroll yang diguna pakai sejak dulu dalam memastikan tidak berlaku kewujudan ijazah palsu yang menggunakan nama universiti berkenaan.

Beliau, bagaimanapun, tidak boleh mendedahkan nama sistem untuk menyemak dan mengesahkan ijazah atas sebab keselamatan.

"UTM juga mempunyai rekod graduan dalam Persatuan Alumni UTM. e-Scroll merupakan penambahbaikan kepada sistem rekod pelajar UTM sedia ada dan ia juga memberi keyakinan kepada majikan dan orang awam yang mahu melakukan pemeriksaan terhadap graduan UTM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri syarahan disampaikan Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci bertajuk 'A Paradigm Shift in Foreign Policy: Humantarian Approach' dalam ‘Azman Hashim International Business School Global Dialogue Series’ yang berlangsung di UTM di sini hari.

Wahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam yang menasihatkan majikan dan orang awam supaya membuat semakan melalui e-Scroll.

Menurut Maszlee, langkah memperkenalkan e-Scroll dibuat berikutan peningkatan bilangan ijazah palsu yang boleh didapati dengan mudah termasuk melalui internet, dan sistem e-Scroll antara lain mempunyai ciri-ciri kod maklum balas pantas (QR) dicetak pada ijazah sekali gus membolehkan proses pengesahan dapat dilakukan dengan mudah.

Selain itu, semakan juga boleh dibuat melalui institusi pengajian tinggi awam atau swasta selain Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wahid berkata UTM pernah mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan ijazah palsu menggunakan nama universiti itu sebelum ini dan mereka telah pun diambil tindakan oleh pihak berkuasa, namun beliau enggan menyatakan jumlah kes melibatkan UTM.

Pada 9 November tahun lepas, Kementerian Pendidikan melancarkan e-Scroll bagi mengatasi masalah ijazah palsu sekali gus memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, sistem e-Scroll menggunakan teknologi Blockchain dibangunkan oleh satu konsortium disertai enam universiti awam yang diketuai UIAM susulan rumusan daripada Majlis Dekan-dekan ICT universiti-universiti Malaysia.

Langkah memperkenalkan e-Scroll dibuat berikutan peningkatan bilangan ijazah palsu yang boleh didapati dengan mudah menerusi internet.

Sistem e-Scroll antara lain mempunyai ciri-ciri kod QR dicetak pada ijazah sekali gus membolehkan proses pengesahan ijazah dapat dilakukan di mana-mana sahaja yang mempunyai jaringan Internet. - Bernama