Agong kurnia watikah pelantikan TYT Pulau Pinang

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan TYT YDP Pulau Pinang kelapan kepada Ahmad Fuzi di Istana Negara pada Jumaat. Foto Instagram Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan TYT YDP Pulau Pinang kelapan kepada Ahmad Fuzi di Istana Negara pada Jumaat. Foto Instagram Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan kepada Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak di Istana Negara.

Pelantikan bekas diplomat itu berkuat kuasa Sabtu sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah berkhidmat selama 20 tahun.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Ahmad Fuzi.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung pagi Jumaat turut disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Al; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Ahmad Fuzi, 72, yang merupakan anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada tahun 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM (Pergerakan Negara-negara Berkecuali), Sidang Kemuncak OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan Sidang Kemuncak ASEAN. - Bernama

Artikel Berkaitan: