Bukit di Batu Ferringhi diteroka, SAM gesa kerajaan negeri bertindak

Tangkap layar daripada aplikasi Google Earth menunjukkan berlaku penerokaan bukit di Batu Feringghi.
Tangkap layar daripada aplikasi Google Earth menunjukkan berlaku penerokaan bukit di Batu Feringghi.
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan menyiasat penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi, berhampiran Persiaran Sungai Emas 3.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, SAM menerima aduan kawasan lereng bukit telah dipotong teres yang didakwa untuk tujuan pertanian.

Menurutnya, pengadu juga telah menghantar tangkap layar daripada aplikasi Google Earth yang memaparkan dengan jelas sebidang tanah sedang dibersihkan di bukit ini.

"Semasa tinjauan dilakukan, kami menemui jalan masuk menuju ke tanah yang dibersihkan tetapi tidak dapat pergi jauh ke dalam untuk mengelakkan pencerobohan kerana tidak pasti status tanah tersebut.

"SAM berpandangan bahawa penerokaan tanah bukit di sini hanya akan mengundang bencana malah mungkin berlaku kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah jika hujan lebat berterusan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi, berhampiran Persiaran Sungai Emas 3.
Penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi, berhampiran Persiaran Sungai Emas 3.

Meenakshi berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu turun ke lokasi untuk menyiasat status tanah, sifat kerja yang dilakukan di sini dan mengenalpasti sama ada ianya penerokaan haram.

Menurutnya, pihak berkuasa juga mesti mendedahkan kepada orang ramai sekiranya kerja tanah di sini melanggar Akta Pemuliharaan Tanah 1960,yang berkaitan dengan pemuliharaan bukit dan perlindungan daripada hakisan tanah dan kelodak.

Artikel Berkaitan:

"SAM berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap penerokaan tanah bukit ini dan di kawasan lain kerana semakan di Google Earth menunjukkan bahawa terdapat banyak lereng bukit yang dibersihkan di banjaran bukit di sini dan bahagian lain di pulau.

"Bukit-bukau amat sensitif dan tragedi masa lalu harus dijadikan pengajaran. Kita perlu menjaga dan melindungi ekosistem bukit kita untuk kebaikan semua," katanya.