Doktor Malaysia antara positif Covid-19 di Singapura

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki warganegara Malaysia yang berstatus penduduk tetap Singapura antara 16 kes baharu Covid-19 penularan tempatan, yang dilaporkan di sini pada Khamis.

Lelaki berusia 30 tahun yang merupakan doktor di Tan Tock Seng Hospital (TTSH) dan merupakan antara lapan lagi kes yang dikaitkan dengan Kes 62541, seorang jururawat disahkan positif jangkitan itu pada 27 April.

Dilabelkan sebagai Kes 62557, lelaki itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 18 Januari dan dos kedua pada 8 Februari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam Khamis.

MOH berkata, terdapat sembilan kes yang dikaitkan dengan TTSH setakat ini iaitu tiga adalah kakitangan TTSH dan enam merupakan pesakit yang ditempatkan di wad di hospital itu.

“Siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak sedang dijalankan. Dalam pada itu, kami telah menyediakan langkah berjaga-jaga untuk memayungi kes-kes tersebut,” menurut MOH.

Kementerian itu berkata, dua wad di TTSH telah ditutup manakala tiada pelawat dibenarkan masuk ke hospital itu kecuali bagi pesakit kritikal bermula Khamis.

“Dalam tempoh ini, kes elektif akan ditangguhkan kecuali bagi kes yang mendesak dan Kes Kemalangan dan Kecemasan (A&E) yang tidak mengancam nyawa akan dilencongkan ke hospital lain,” katanya.

Setakat 12 tengah hari Khamis, 35 kes baharu dilaporkan di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 61,121 kes.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 16 kes baharu jangkitan Covid-19 adalah penularan tempatan pada Khamis, dilaporkan merupakan jumlah kes komuniti tertinggi sejak Julai tahun lalu.

Setakat ini terdapat lapan kluster Covid-19 di republik itu. - Bernama