Cubaan 'tentera semut' seludup 1.84 juta rokok gagal

Nur Syam Asmawie (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 1.84 juta batang rokok seludup yang berjaya dipatahkan Maritim Malaysia Kelantan, pada Rabu.
Nur Syam Asmawie (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 1.84 juta batang rokok seludup yang berjaya dipatahkan Maritim Malaysia Kelantan, pada Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Cubaan sekumpulan penyeludup memunggah 1.84 juta batang rokok seludup menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan berjaya mematahkan kegiatan itu pada Rabu.

Kumpulan penyeludup itu digelar 'tentera semut' kerana bertindak memunggah barang seludup dalam jumlah kecil bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

Nilai rampasan termasuk cukai itu dianggarkan berjumlah RM1.62 juta itu dilakukan di kawasan tebing Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob mendedahkan taktik memunggah rokok seludup dalam kuantiti kecil menggunakan kenderaan MPV menjadi modus operandi baharu bagi mengelakkan kegiatan haram itu dikesan.

"Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan hasil risikan serta kerjasama satu pasukan dalam membanteras penyeludupan," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Malaysia Tok Bali, di sini pada Jumaat.

Nur Syam Asmawie (kanan) menunjukkan MPV yang digunakan oleh penyeludup untuk memunggah rokok dengan kuantiti kecil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Nur Syam Asmawie (kanan) menunjukkan MPV yang digunakan oleh penyeludup untuk memunggah rokok dengan kuantiti kecil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, sekitar jam 11.10 malam, anggota Maritim mengesan sebuah bot yang dikemudi dalam keadaan mencurigakan pada jarak satu batu nauktika dari muara Kuala Senok, Bachok.

Bagaimanapun katanya, penyeludup bertindak melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau dengan meninggalkan bot berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan enam MPV pelbagai jenis berisi dengan kotak rokok termasuk bot yang ditinggalkan.

Katanya, rampasan bot dan enam MPV itu dianggarkan berjumlah RM758,000.

"Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan satu paket kecil disyaki dadah jenis syabu bersama alatan untuk kegunaan peribadi.

"Siasatan awal mendapati rokok seludup itu dipercayai untuk pasaran kawasan ladang dan felda di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan serta Pahang," katanya.

Nur Syam Asmawie berkata, Maritim Kelantan akan mempertingkatkan lagi kawalan di perairan negara dalam usaha mengekang aktiviti jenayah.