Cabaran pengusaha pusat tuisyen

Gambar kecil dari kiri: Abu Bakar, Nur Faizah, Muhammad Alisam
Gambar kecil dari kiri: Abu Bakar, Nur Faizah, Muhammad Alisam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sedikit sebanyak menjejaskan pengusaha-pengusaha tuisyen di negara ini.

Pemilik Tuisyen Perintis Didik, Muhammad Alisam Ismail berkata, pusat tuisyen selalunya menerima lebih ramai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan berbanding pelajar tidak menduduki peperiksaan.

“Jadi bila peperiksaan utama dimansuhkan, ia memberi kesan kepada pusat tuisyen kami.

“Ini kerana pusat tuisyen mengalami fasa pengurangan pelajar, ditambah dengan isu pembelajaran dalam talian sekarang.

“Jadi bila tiada kedua-dua peperiksaan itu, maka kami bergantung kepada calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Oleh itu, bagi pengusaha-pengusaha pusat tuisyen untuk bertahan dalam perniagaan ini agak sulit sedikit,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun, Muhammad Alisam berkata, pusat tuisyen masih beroperasi seperti biasa kerana mereka tahu masih ramai lagi pelajar yang memerlukan insentif pembelajaran tambahan daripada pusat tuisyen.

“Jadi kami masih menerima kemasukan pelajar daripada kelas yang tidak menduduki peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi jumlahnya tidak setinggi kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan seperti UPSR, PT3 dan SPM.

“Apa jua yang kerajaan buat pasti ada rencana mereka. Jadi kita tunggu dan lihat laluan yang seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Pusat Tuisyen Idea Unggul Putrajaya, Abu Bakar Abdul Razak berpandangan bahawa tindakan tersebut mempunyai kesan positif dan negatif.

“Pada pandangan saya, selepas pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3, mungkin ada satu pentaksiran baharu yang akan dilaksanakan.

“Jadi ibu bapa masih menghantar anak-anak ke kelas tuisyen tetapi bergantung kepada pelajar itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, tindakan berkenaan memberi kesan kepada emosi pelajar kerana apabila tiada peperiksaan, maka mereka kurang bersemangat untuk menghadiri kelas tambahan.

“Itu kita kena dorong lagi supaya mereka terus belajar dan menghadiri kelas tuisyen.

“Kalau diikutkan tindakan itu tidak wajar kerana peperiksaan ini sebenarnya dapat membantu pelajar untuk fokus pada tahun berikutnya. “Sekurang-kurangnya bila ada peperiksaan itu, ada matlamat yang mereka mahu capai,” katanya.

Menurut Pengurus Pusat Tuisyen Era Gigih, Nur Faizah Abdul Ghafar pula, pendaftaran bagi murid Tahun Enam adalah memberangsangkan.

Katanya, ini disebabkan sifat keterbukaan ibu bapa yang mana masih menginginkan kelas tambahan kepada anak-anak mereka walaupun peperiksaan dimansuhkan.

Namun begitu, Nur Faizah mengharapkan agar pendaftaran tersebut akan kekal memberangsangkan pada bulan mendatang.

“Kesan ada, tapi tak ketara. Cuma kami risau bagi pendaftaran bulan akan datang, kami takut akan turun. Harap ada peningkatan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi berkata, pusat tuisyen akan menjadi lebih penting apabila sistem pentaksiran berdasarkan sekolah (PBS) dan pentaksiran bilik darjah (PBD) dilaksanakan.

Katanya, perkara tersebut akan menyebabkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan bagi mendapatkan ilmu.

Tambah Noor Shafizzal, sistem yang dilaksanakan tersebut adalah lebih sukar jika dibandingkan dengan peperiksaan UPSR dan PT3.

“Kami sebagai persatuan akan maklumkan secara terperinci apakah maksud pemansuhan dan apa kerajaan nak buat.

“Saya rasa bila diberi penerangan, ibu bapa akan teruskan tuisyen,” ujarnya.