Jangan ulangi nasib Nanggala 402

Insiden Nanggala 402 perlu jadi iktibar kepada Malaysia supaya meningkatkan kemahiran kru untuk mengawal dan mengendali kapal selam.
Insiden Nanggala 402 perlu jadi iktibar kepada Malaysia supaya meningkatkan kemahiran kru untuk mengawal dan mengendali kapal selam.
A
A
A

MINAT mendalam penulis kepada kapal selam timbul selepas lebih 10 kali menonton filem The Hunt for Red October. Filem arahan John McTiernan menampilkan Sean Connery, hero James Bond kegemaran penulis. Sejak itu, penulis sentiasa teruja mengkaji kapal selam.

Malaysia ialah negara ketiga di rantau Asia Tenggara memiliki kapal selam. Kita membeli kapal selam selepas 26 tahun Indonesia menampilkan Nanggala 402 kepada dunia. Jelas sekali Indonesia lebih awal memahami betapa perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan ialah lautan besar yang terdedah kepada kuasa tertentu. Perlu diingatkan pesisiran laut Malaysia dan Laut China Selatan ialah benteng permainan kuasa besar pada era Perang Dingin.

Justeru, penulis terpempan apabila terima WhatsApp ringkas daripada sahabat lama dari Bandung, bekas editor Pikiran Rakyat, akhbar terbesar di Jawa Barat. Pesanan sahabat meminta penulis memberi sedekah al-Fatihah kepada kru Nanggala 402.

Kapal selam Indonesia itu hilang daripada radar dipercayai tenggelam pada Rabu 21 April 2021 bersama 49 anak kapal, seorang komander dan tiga pakar senjata, satu setengah jam selepas memulakan latihan torpedo pada jam 3 pagi di perairan Bali Utara iaitu kira-kira 95 kilometer di utara Bali, Indonesia.

Kapal Selam jenis 209/1300 Submarine Hunter-Killer (SSK) direka bentuk syarikat Howaldtswerke berpangkalan di Jerman Barat bermula 1978 dan siap dibina pada 1981. Ia dua kali menjalani retrofit di Korea Selatan.

Antara 2004 dan 2006, kapal selam kelas cakra ini telah menjalani pengubahsuaian oleh Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering di Korea Selatan. Ia turut diperbaharui dengan menampilkan bateri baru, baik pulih enjin dan sistem tempur modennya. Pada 2009, Daewoo sekali lagi memperbaiki Nanggala 402 dan siap pada 2012.

The Jakarta Post melaporkan Nanggala 402 direka bentuk untuk menyelam sehingga kedalaman 500 meter (m). Ia dikesan mengalami gangguan bekalan elektrik pada kedalaman 850m di bawah paras laut. Kenderaan bawah air kawalan jarak jauh dipercayai sukar mengesan keadaan sebenar jika melepasi kedalaman 500m.

Timbul persoalan kenapa Nanggala 402 gagal dikesan selepas dua jam setengah berlepas. Kapal selam jenis ini banyak digunakan angkatan laut negara lain seperti Korea Utara, China, Amerika Syarikat, Russia, Iran, Korea Selatan, Jepun, India, Turki dan Colombia.

Tentera Laut Indonesia (TLN) mengesahkan Nanggala 402 digerakkan oleh empat enjin diesel hibrid dengan kelajuan pelayaran 21.5 knots (40 kilometer sejam) mampu bertahan sehingga 50 hari dalam air tanpa timbul.

Penulis memiliki pengalaman dalam reka bentuk peralatan kejuruteraan dan mesin kompleks percaya teori keselamatan dan kegagalan, peralatan kejuruteraan di udara serta di laut perlu mempunyai faktor keselamatan sangat tinggi iaitu antara 2.5 dan 3.0 berbanding peralatan kejuruteraan digunakan di darat.

Ini bermaksud kenderaan udara dan laut mempunyai ciri keselamatan hampir tiga kali ganda lebih selamat. Nanggala 402 sepatutnya mampu menyelam lebih daripada yang dibenarkan, tetapi dalam keadaan kecemasan sahaja.

Sebenarnya, keadaan di laut dalam tidak menentu. ALLAH SWT telah memberi amaran kepada manusia supaya berwaspada dalam Surah Al-Anfaal ayat [8:60] maksudnya:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada (pasukan) berkuda yang dilengkapi untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALLAH, musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALLAH mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan ALLAH nescaya akan dibalas dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”

Dalam hal ini, insiden Nanggala 402 perlu jadi iktibar kepada Malaysia supaya meningkatkan kemahiran kru untuk mengawal dan mengendali kapal selam. Peralatan, fasiliti latihan, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan, mesti mencukupi. Jangan biarkan nasib Nanggala 402 berulang di bumi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

*Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor