Urusan RoS bukan tentukan penubuhan parti ikut arahan atasan

Dr Abu Hafiz Salleh Hudin Ketua Pemuda Pejuang Dr Abu Hafiz Salleh Hudin - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Abu Hafiz Salleh Hudin Ketua Pemuda Pejuang Dr Abu Hafiz Salleh Hudin - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bukan menentukan sesebuah parti itu boleh ditubuhkan atau tidak berdasarkan arahan pihak atasan.

Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, RoS seharusnya membantu Pejuang dan parti-parti lain mengenal pasti kelemahan atau kesalahan dalam penubuhan parti supaya mereka dapat memperbaikinya.

“Satu perkara yang patut tahu, masalah ini bukan saja berlaku kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetapi juga kepada parti Pejuang yang mana kami kerap pergi bertanyakan apa masalah dan kekurangan.

“Sedangkan perlembagaan memberi hak untuk berpersatuan. RoS adalah badan untuk memfasilitasi kami di mana ruang kelemahan itu, beritahu dan kami perbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-252 bertajuk ‘Antara Parti Orang Muda dan Meremajakan Parti’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai manakala Edlynna Hanie Hamid sebagai moderator.

Mengulas lanjut Abu Hafiz berkata, RoS perlu beri kelulusan kepada mana-mana parti sama ada parti muda atau parti tua sekiranya tiada masalah berkaitan permohonannya.

“Siapa pun secara umum sama ada parti muda, parti tua atau parti yang menggunakan akronim tua dan sebagainya adalah hak demokrasi yang diberikan oleh perlembagaan untuk berpersatuan.

Artikel Berkaitan:

“Selama mana sama ada parti itu dinamakan parti Muda dan sebagainya, ia tidak melanggar mana-mana peruntukan perlembagaan dan peraturan.

“Peraturan dan perlembagaan membenarkan dan memberikan hak kepada kami untuk berpersatuan dan lain-lain saya kira itu ialah perkara-perkara yang tidak penting untuk dijadikan asas dalam perbincangan,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara sebab pendaftaran Pejuang dan Muda tidak diterima kerana intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti itu tidak teratur serta tidak spesifik.

Menurutnya, permohonan itu ditolak kerana kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 7 (3) (e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) berkaitan dengan perlembagaan parti.