Bekas atlet bola keranjang berkerusi roda hidup daif

Muhammad Jafni membantu skuad bola keranjang berkerusi roda kebangsaan merangkul pingat perak pada temasya Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura. - FOTO: FB Muhammad Jafni Abdul Aziz
Muhammad Jafni membantu skuad bola keranjang berkerusi roda kebangsaan merangkul pingat perak pada temasya Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura. - FOTO: FB Muhammad Jafni Abdul Aziz
A
A
A

DULU Muhammad Jafni Abdul Aziz adalah pemain bola keranjang berkerusi roda kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara dalam arena sukan golongan orang kurang upaya (OKU), tetapi kini beliau terpaksa memohon bantuan bagi meneruskan kehidupan.

Muhammad Jafni, 31, yang duduk bersama seorang adiknya, Abu Dzar, 29, di sebuah rumah kampung yang usang, hanya mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM400 dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau yang juga anak yatim mula mewakili negara pada 2015 hingga 2017, dan selepas itu tidak lagi dipilih dalam skuad bola keranjang berkerusi roda kebangsaan.

"Kemalangan pada 2013 telah menyebabkan saya menjadi OKU, namun saya tidak putus asa dalam mengharungi kehidupan dan berjaya dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam sukan bola keranjang berkerusi roda.

"Namun selepas tidak mewakili negara, kehidupan saya agak susah kerana masalah saraf tunjang menyebabkan kelumpuhan saya daripada pinggang ke bawah dan hilang deria rasa menyebabkan saya kerap memerlukan bantuan orang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pencapaian terbaik Muhammad Jafni adalah membantu pasukan bola keranjang berkerusi roda negara merangkul pingat perak pada temasya Sukan Para ASEAN di Singapura pada 2015.

Bekas pemain tengah skuad bola keranjang berkerusi roda itu berkata, baru-baru ini kerusi rodanya mengalami kerosakan dan beliau tidak mampu untuk membaikinya, sekali gus menyukarkan pergerakannya walaupun di dalam rumah.

Keperitan hidup Muhammad Jafni mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang hadir memberikan bantuan kerusi roda khas dan melihat sendiri keadaan rumah bekas atlet kebangsaan itu pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Reezal Merican berkata, beliau telah meluluskan permohonan untuk mendapatkan satu bilik tidur, dapur dan sebuah motosikal OKU bagi membantu kehidupan Muhammad Jafni.

"Insya-ALLAH dengan kelulusan permohonan itu diharapkan akan dapat membantu meringankan beban dan cabaran kehidupan Jafri," katanya. - Bernama