Tok Mat 'lawan balik'

Ahmad
Ahmad
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan tunduk kepada 'tekanan' daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang menggantung badan induk itu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sepak takraw buat sementara waktu.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, tindakan ke atas dirinya dan PSM seolah-olah sudah dirancang dan beliau telah menyerahkan tindakan lanjut kepada peguam untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

"Saya minta dia (Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader) buktikan kepada saya dalam perlembagaan ASTAF waima akta sukan dunia sekalipun bahawa ASTAF mempunyai hak untuk menggantung PSM daripada melakukan aktiviti sepak takraw.

"Buktikan dulu kepada saya. Alasan dia menggantung PSM kerana saya tandatangan satu surat pada 14 Mac 2008. Tetapi surat itu surat apa? Dia pun tak berani bagi surat itu kepada saya.

"Saya boleh cerita surat itu mengenai tidak mengambil bahagian dalam menyertai acara itu pada Sukan SEA, Korat, Thailand. Itu pun keputusan bukan kita buat sendiri tetapi selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Dalam surat itu ada menyatakan hendaklah patuh kepada peraturan ASTAF. Takkan saya nak kata saya tak nak patuh. Tentulah kita patuh selagi berlandaskan perlembagaann bukan undang-undang yang direka sendiri," katanya pada sidang media pada Khamis.

Pada Rabu, ASTAF dalam satu kenyataan telah menggantung sementara PSM daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berikutan kenyataan Ahmad mengenai pemilihan badan pentadbir sepak takraw Asia pada 1 Mac lalu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, pada 14 Mac 2008, PSM berjanji kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk mematuhi objektif ISTAF dan perlembagaan ASTAF; menyokong ISTAF dan ASTAF dalam pelbagai objektif.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat memberitahu, aktiviti sepak takraw di negara ini akan berjalan seperti biasa dan pihaknya hanya akan akur jika pihak mahkamah membuat keputusan.

"Yang dia serang itu PSM. Jangan risau, STL (Liga Sepak Takraw) akan terus berjalan. Segala program pembangunan akan tetap berjalan. Selagi saya bernyawa sukan sepak takraw akan terus berjalan.

"Saya nak ingatkan Abdul Halim, dia boleh sentuh saya tetapi jangan sentuh PSM. Jadi, kita dengar apa kata mahkamah. Selagi tak ada keputusan mahkamah, kita akan terus jalan," katanya.