Agong kurnia watikah pelantikan kepada pengerusi dan ahli MAIWP

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Abdul Aziz sempena Hari Nuzul Al-Quran di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Abdul Aziz sempena Hari Nuzul Al-Quran di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 23 ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Istana Negara, di sini sempena Nuzul Al-Quran hari ini.

Mengetuai penerima ialah Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar selaku Pengerusi MAIWP diikuti Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP.

Pelantikan yang mula berkuat kuasa 10 Februari lepas itu adalah sehingga 9 Februari 2024 mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

Antara yang turut menerima watikah pelantikan ialah Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mewakili Ketua Polis Negara.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah juga menerima watikah pelantikan itu.

Selain itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail pula dilantik sebagai Setiausaha MAIWP, selaras dengan Akta 505. - Bernama

Artikel Berkaitan: