Keadilan yang tercemar?

A
A
A

NEGARA telah digemparkan dengan afidavit yang ditandatangani oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer. Pelbagai tuduhan dilemparkan dalam afidavit tersebut yang boleh menghakis keyakinan orang awam dan orang luar terhadap institusi kehakiman negara.

Isu mengenai campur tangan dalam institusi kehakiman di negara ini bukanlah baharu. Semenjak dahulu, rakyat sudah disajikan dengan pelbagai tohmahan mengenai campur tangan politik dalam institusi kehakiman negara. Cuma bezanya pada kali ini, isu mengenai campur tangan ghaib ini disahkan sendiri oleh salah seorang hakim tertinggi di negara ini.

Ini bukan kali pertama tuduhan sebegini dilemparkan oleh Hamid Sultan. Pada Ogos tahun lalu, beliau telah secara umum mengatakan bahawa terdapat campur tangan ghaib dalam institusi kehakiman, terutamanya dalam kes M. Indira Gandhi (kes anak-anak diislamkan oleh bekas suami Indira tanpa kebenaran beliau) serta kes hasutan Karpal Singh.

Namun, Ketua Hakim Negara sudah menyatakan pada tahun lalu bahawa tiada siasatan rasmi yang dapat dilakukan kerana hakim-hakim yang terpalit dengan tuduhan tersebut sudah bersara. Malah, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 serta Kod Etika Hakim 2009 tidak mempunyai peruntukan yang membenarkan siasatan sedemikian dilakukan.

Tuduhan yang dilakukan oleh Hamid Sultan adalah sangat berat yang mampu menggegar kestabilan dan kebebasan institusi kehakiman di negara ini. Tuduhan yang dibuat beliau perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi seperti menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja. Jika Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan Kod Etika Hakim 2009 tidak mempunyai peruntukan khas untuk membuat sebarang siasatan rasmi berkenaan tuduhan ini, amat molek jika satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Majlis Peguam sendiri sudah semenjak tahun lalu menyarankan agar tuduhan Hamid Sultan ini tidak diambil mudah dan satu suruhanjaya siasatan diraja wajar ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.

Institusi kehakiman di negara ini perlu bebas. Bebas daripada campur tangan politik, tangan ghaib mahupun campur tangan dalam kalangan hakim-hakim atasan terhadap segala keputusan kehakiman yang dibuat oleh hakim-hakim bawahan. Para hakim perlu bebas untuk menjalankan tugas masing-masing tanpa terdapat sebarang campur tangan atau pengaruh daripada mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun dari luar.

Bercakap mengenai afidavit yang difailkan oleh peguam, Sangeet Kaur Deo, anak perempuan kepada mendiang Karpal Singh mengenai skandal kehakiman ini, memang terdapat sedikit kejanggalan terhadap afidavit tersebut. Dengan afidavit setebal 65 muka surat itu, tidak pula terdapat ekshibit yang menyokong mana-mana kenyataan yang dibuat dalam afidavit tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah satu perkara yang sedikit janggal kerana kebiasaannya, afidavit perlu disertakan dengan ekshibit bagi menyokong kenyataan-kenyataan atau mungkin tuduhan-tuduhan yang dibuat dalam afidavit tersebut.

Jika tidak, segala kenyataan dan tuduhan yang dibuat dalam afidavit tersebut akan dianggap sebagai bersifat skandal, remeh dan menyusahkan (scandalous, frivolous and vexatious). Hakim Hamid Sultan sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang ini malah mempunyai kelulusan PhD dalam bidang tatacara sivil, tidak mungkin akan terlepas pandang prosedur semudah ini.

Tidak diketahui apa motif di sebalik pendedahan yang cuba dilakukan oleh Hamid Sultan, namun ini bukan sesuatu perkara boleh dipermainkan, dipolemikkan malah diambil mudah. Tuduhan yang dibuat oleh beliau adalah satu tuduhan yang bersifat skandal terhad.

Hamid Sultan sudah pernah mencuba cara lain dalam memaklumkan kepada Ketua Hakim mengenai isu serius sebegini. Adakah beliau sudah mendapatkan nasihat daripada Ketua Hakim Negara sebelum membuat pendedahan bersifat skandal ini? Ketua Hakim Negara pada tahun lalu sudah menjanjikan untuk melakukan siasatan dalaman mengenai isu ini. Adakah Hakim Hamid Sultan masih tidak berpuas hati?

Apa yang pasti, banyak kenyataan yang dibuat oleh beliau dalam afidavit tersebut seakan membodek Perdana Menteri, malah beliau turut mahu menjemput Perdana Menteri merasmikan restoran beliau jika beliau berhenti sebagai hakim. Apakah tujuan beliau memasukkan perkara sedemikian dalam afidavit?

Afidavit tersebut bagaikan dibuat oleh seorang amatur apabila segala tuduhan dibuat secara umum dan tidak memetik mana-mana nama secara jelas. Siapakah “Antagonist of Rule of Law and Constitution” atau ARLC yang dimaksudkan oleh beliau? Siapakah hakim-hakim lain yang kononnya tidak jujur dalam menjalankan tugas mereka seperti yang disebutkan dalam afidavit tersebut? Mengapa tidak dinyatakan secara jelas nama-nama mereka? Afidavit sebegini begitu mudah untuk dinafikan kandungannya oleh pihak lawan kerana terlalu umum, tidak jelas dan tidak disokong dengan ekshibit.

Biarpun begitu, sebagai peguam dan rakyat, saya sendiri secara personal amat berharap agar satu siasatan diraja dapat ditubuhkan untuk menyiasat skandal ini. Rakyat berhak tahu dan nama baik institusi kehakiman negara perlu dibersihkan. Jika benar ada berlaku seperti apa yang dituduh, maka Ketua Hakim Negara perlu lakukan sesuatu untuk membersihkan segala saki-baki kekotoran yang ada dalam institusi kehakiman negara.

* Penulis merupakan seorang peguam