SC tidak galak lantikan ahli politik jadi lembaga pengarah

SC
SC
A
A
A

SHAH ALAM - Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021 (MCCG 2021) terbaru oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menggalakkan pelantikan ahli politik yang aktif sebagai lembaga pengarah syarikat awam bagi menggalakkan pelaksanaan pertimbangan yang mencapai objektif dan bebas.

Mengikut kemaskini MCCG 2021 yang berkuatkuasa pada Rabu itu, semua ahli lembaga pengarah termasuk pegawai awam perlu dicalonkan berdasar kelayakan mereka dan dipertanggungjawabkan dengan undang-undang yang setara.

SC dalam satu kenyataan berkata, pelantikan pengarah termasuk yang dilantik semula dan pengurusan kanan syarikat perlu melalui proses yang formal, ketat dan telus.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, terdapat keperluan yang kukuh untuk memastikan tadbir urus korporat dan kepimpinan lembaga pengarah yang baik terutama ketika syarikat menghadapi tempoh pemulihan pasca wabak yang berpanjangan.

"MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah membangunkan ketahanan jangka panjang dengan penggunaan dan pelaksanaan dasar serta amalan tadbir urus korporat yang menyokong syarikat tersenarai untuk menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah," katanya.

Menurutnya, SC yang memaklumkan kemaskini terhadap MCCG 2021 turut menyentuh mengenai isu berkaitan pelantikan semula pengarah bebas yang telah lama berkhidmat tetap.

“Pada 31 Mac 2021, 434 pengarah bebas mempunyai tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun yang mana 49 pengarah bebas telah berkhidmat dalam lembaga pengarah yang sama selama lebih 20 tahun.

“Untuk menggalakkan rombakan berkala komposisi lembaga pengarah, MCCG mengesyorkan proses pengundian dua peringkat dilaksanakan bagi pelantikan semula pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi sembilan tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses pengundian dua peringkat yang pertama kali diperkenalkan pada 2017, bertindak sebagai satu bentuk kawalan bagi lembaga pengarah dan pemegang saham untuk menilai dengan teliti keputusan untuk mengekalkan pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun.

Beliau berkata, kaedah itu juga memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk memilih atau menentang pengekalan itu dalam proses pengundian peringkat kedua.

“Berikutan kemaskini yang dilakukan terhadap MCCG, Bursa Malaysia akan memperkenalkan had tempoh perkhidmatan selama 12 tahun tanpa lanjutan bagi pengarah bebas dalam keperluan penyenaraian pada suku keempat 2021.

“Bursa Malaysia akan turut mendapatkan maklum balas daripada penerbit tersenarai dan pihak industri sebelum memuktamadkan garis masa pelaksanaan tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, isu lain yang turut diberi perhatian dalam MCCG2021 ialah menangani keperluan mendesak bagi syarikat untuk menguruskan risiko dan peluang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui pengenalan amalan terbaik baharu yang menekankan keperluan terhadap tindakan bersama oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

MCCG 2021 turut mengesyorkan semua syarikat tersenarai supaya mempercepat kemajuan penyertaan wanita dengan mempunyai lembaga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita.

Kali terakhir MCCG dikemaskini adalah pada 2017 dengan syarikat tersenarai menunjukkan penggunaan kod yang menggalakkan apabila majoriti amalan terbaik mencatatkan tahap pelaksanaan melebihi 70 peratus.

Melalui penguatkuasaan MCCG 2021 itu, kumpulan pertama syarikat yang mula melaporkan penggunaan amalan itu adalah syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2021.

Proses pengundian dua peringkat akan diguna pakai bagi resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung yang diadakan pada atau selepas 2 Januari 2022.