X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada UPSR, murid dinilai melalui tahap penguasaan

Gambar kecil: Syed Anuar
A
A

KUALA TERENGGANU - Ibu bapa tidak perlu bimbang susulan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana proses penilaian pembelajaran murid sepanjang enam tahun di sekolah tetap diutamakan melalui mekanisme ditetapkan.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, murid akan dinilai melalui pentaksiran yang diklasifikasikan mengikut Tahap Penguasaan 1 (TP1) hingga 6 (TP6) bagi dua kategori penilaian iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Katanya, PBS mengandungi beberapa elemen antaranya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

"PBD bukan bersifat peperiksaan dan murid dinilai sepanjang tahun berdasarkan pentaksiran aspek pemerhatian oleh guru melalui sikap, perlakuan, amalan, amali, kemahiran manipulatif, kemahiran bersosial, kemahiran belajar dan kemahiran merekacipta.

"Melalui pentaksiran lisan pula membabitkan kefahaman konsep, pengetahuan fakta, kemahiran mendengar, penggunaan bahasa yang tepat, sebutan dalam berbahasa, gaya persembahan, pertuturan dan sikap.

"Kemahiran lisan boleh ditaksir melalui aktiviti seperti soal jawab, bercerita Sains, perbincangan, mendengar dan memberi respons secara lisan serta pembentangan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Syed Anuar berkata, bagi pentaksiran bertulis, murid dinilai berdasarkan beberapa perkara termasuk laporan projek, latihan bertulis, ujian bertulis dan huraian manakala bagi pentaksiran projek pula mereka perlu menghasilkan satu hasil pembelajaran atau merekacipta.

Syed Anuar berkata, murid akan diberikan Tahap Penguasaan (TP 1 hingga TP 6) terhadap pentaksiran yang dijalankan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, murid yang menguasai kandungan pembelajaran akan diberikan TP6, manakala murid sederhana TP5,TP4 dan TP3 murid yang kurang ataupun tidak menguasai diberikan TP2 dan TP1.

"Pemahaman konsep Sains secara cemerlang dan cara untuk aplikasi konsep Sains dalam kehidupan seharian adalah tunjang utama untuk mendapatkan Tahap Penguasaan (TP) yang tinggi dalam PBD," katanya.

Dalam pada itu, Syed Anuar berkata, pemansuhan UPSR memerlukan murid melipat gandakan lagi usaha dan keupayaan dalam aspek penguasaan kandungan pembelajaran, pemahaman konsep yang cemerlang dan dapat mengaplikasikan konsep sains dalam kehidupan seharian.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dibawah KPM yang akan menilai murid untuk layak ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Tentera dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (EQ,SQ, SSQ), Kecerdasan Intelek (MT, SN, Pengetahuan AM, KBAT) dan Artikulasi Penulisan (Karangan Bertulis).

Selain itu katanya, komponen Ujian Kecenderungan Kemasukan (UKKM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh Malaysia meliputi Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Keperibadian.

"Kita harap penglibatan ibu bapa bersama sekolah khasnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat ditingkatkan.

"Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri juga diminta menjemput semua pemimpin PIBG untuk diberikan penerangan secepat mungkin agar ibu bapa tidak keliru dan bimbang dengan keputusan terkini KPM, " katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!