Bagaimana membantu graduan kita?

A
A

KEBANYAKAN kita mempunyai anak-anak yang telah menamatkan pelajaran di peringkat ijazah. Berpuluh ribu sekarang sedang mencari kerja. Dalam kemelesetan ekonomi dan cabaran-cabaran lain dalam negara adalah menjadi sesuatu yang amat menyukarkan anak-anak kita mencari kerja seperti biasa.

Dalam artikel ini saya akan mencadangkan enam perkara yang para graduan dan kita semua serta pemimpin politik dapat buat untuk membantu para graduan kita memulakan kerjaya dan hidup mereka.

Pertama adalah membina cv atau biodata kepakaran pasca universiti atau selepas belajar di institusi. Dalam graduan menghantar cv dan sijil kelulusan mereka, proses mendapat kerja idaman akan mengambil masa beberapa tahun. Sambil menunggu kerja yang dipohon melalui jaringan rakan, kenalan dan internet, graduan perlu jangan membuang masa.

Pertama, adalah membaca. Sambil menunggu, cari buku-buku penting berkait dengan profesion atau berkait dengan ilmu persekitaran sosial atau fizikal atau agama dan masyarakat. Jika telah mengkhatamkan buku-buku ini pastikan ia dicatat dalam cv.

Ramai mungkin terkejut kenapa dibuat demikian. Kalau saya menemu bual seorang calon yang membaca dengan sendiri dan calon yang tidak membaca langsung siapa agaknya akan saya pilih? Sudah tentu yang membaca kerana ia merupakan yang berilmu lebih dan berinisiatif.

Kedua, graduan perlu berpartisipasi dalam forum-forum penting yang membincangkan tentang hala tuju masyarakat kita contohnya terhadap isu perkauman, agama, persekitaran, pendidikan dan pelbagai lagi yang akan menentukan masa depan kita. Pergi ke forum-forum itu, interaksi dengan ahli panelis dan mohon business kad mereka. Jika saya sedang memilih cv calon, saya akan pilih mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara melalui diskusi dan perasaan tulen untuk merubah keadaan semasa.

Orang yang akan saya pilih sebagai pegawai eksekutif saya adalah yang mempunyai sikap terhadap isu-isu dan bukan hanya main dengar-dengar sahaja. Calon yang berforum adalah calon yang mempunyai inisiatif, mempunyai sikap mahu mengubah keadaan, mempunyai jaringan kenalan luas dan dapat memahami ‘the big picture’ dalam masyarakat. Kebanyakan graduan yang saya temu bual tak tahu pun apa ‘the big picture’ dalam masyarakat, agama dan kaum sendiri.

Ketiga, graduan perlu mengkaji setiap syarikat yang dipohonnya dengan teliti melalui internet, kenalan dan kenalan atas kenalan. Cuba fahamkan peranan syarikat dalam masyarakat dari aspek production dan juga public relation. Setelah itu drafkan suatu pernyataan apakah keistimewaan graduan itu sendiri dalam menyumbang kepada perkembangan firma atau syarikat tersebut. Jangan pergi temu bual menonong tak tahu apa-apa pun tentang syarikat tersebut. Hancur. Baik tak payah pergi. Buang masa saja.

Dalam temu bual, jika disoal atau tidak disoal, selitkan apa yang graduan tahu tentang syarikat tersebut dan bagaimana agaknya graduan boleh menyumbang kepada pembangunan masa depan syarikat itu. Tidak kisah sama ada ide dan cadangan graduan itu kelihatan idealistik ataupun nampak ‘bodoh’ tetapi jangan duduk diam seribu bahasa. Sudah tentunya syarikat itu akan memilih graduan yang ada ide dan berani memberi cadangan, bukan menikus menunggu arahan. Calon yang hendak dipilih adalah yang boleh berdikari, berinisiatif berkomunikasi dan berani mencuba perkara baharu.

Keempat, kalau ada peluang menjadi pembantu pengurus restoran Kentucky, Pizza Hut atau McDonald, masuk gelanggang walaupun graduan seorang berijazah kejuruteraan atau seni bina. Bekerja di bawah sebagai pelayan biasa selama sebulan dan kemudiannya latihan pengurusan. Kerja bersungguh-sungguh. Cuba buat perubahan operasi kalau boleh. Rekodkan segala tanggungjawab dan masukkan dalam cv. Apabila temu bual ceritakan dengan ringkas dan mantap tanggungjawab pengurusan dan ide-ide baharu yang diperkenalkan dan saya yakin syarikat besar akan memilih anda.

Kelima, pihak PTPTN saya minta jangan kacau gaji graduan yang baru bekerja selama lima tahun yang tidak putus. Bila EPF mereka telah mencapai RM30,000 maka kerajaan PH harus mengarahkan EPF mengeluarkan RM15,000 untuk membayar balik pinjaman. Baki yang lain boleh dibayar balik dalam 20 tahun potongan gaji. EPF jangan buat hal dengan mengatakan ini sumbangan untuk hari tua. Sebenarnya EPF itu mementingkan dirinya sendiri dan bukannya nasib anak-anak kita.

Keenam, ini adalah cadangan paling radikal. Saya cadangkan kerajaan PH membuka pejabat kecil di 30 negara-negara maju yang memerlukan pekerja-pekerja buruh biasa seperti pelayan restoran, pembantu tukang masak, penjaga kedai runcit atau cashier supermarket.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, gaji minimum di tempat-tempat ini lebih tinggi dari gaji bulanan graduan permulaan. Jika setiap ejen pekerjaan dapat mencari 100 pekerjaan, maka 3,000 graduan boleh kita eksportkan ke luar negara setiap tahun. Mengapa mengehadkan pekerjaan di Malaysia sahaja? Graduan kita boleh berbahasa Inggeris dan rajin bekerja, beradab serta amanah.

Ini empat ciri pekerja yang amat penting. Setiap graduan yang mendapat tempat boleh menandatangani suatu perjanjian pinjaman wang modal RM10,000 untuk pembiayaan tiket kapal terbang, sewa bilik dan sara hidup untuk sekurang-kurangnya 6 bulan. Apabila kedudukan mereka stabil, potongan gaji boleh dibuatkan dan hutang boleh selesai dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Graduan yang bekerja buruh pada permulaan boleh mula mencari peluang kerjaya profesional bidang mereka apabila mereka sudah tahu cara bergerak di negara orang.

Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi negara sekarang, kita harus membantu graduan anak-anak kita bagi bertapak untuk berjaya. Selain dari usaha mereka membangunkan diri dengan kemahiran, sikap dan perwatakan baharu, kerajaan PH juga boleh bersikap kreatif dan tidak bertindak seperti robot yang tak mempunyai ide bernas.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.