Johor paling tinggi kes langgar SHMMP

Shamsul Nizam (tengah) memeriksa harga ayam yang dipamerkan di sebuah pasar raya di Alor Setar ketika membuat pemantauan harga sempena SHMMP 2021 pada Khamis.
Shamsul Nizam (tengah) memeriksa harga ayam yang dipamerkan di sebuah pasar raya di Alor Setar ketika membuat pemantauan harga sempena SHMMP 2021 pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 95 kes dicatatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan kesalahan melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang berkuat kuasa 21 April lalu.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, kesemua kesalahan itu melibatkan enam pemborong dan 89 peruncit yang disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, antara kesalahan yang direkodkan adalah 47 kes tiada tanda harga,18 kes tiada tanda harga khas merah jambu dan 30 kes menjual pada harga maksimum.

"Daripada semua kes ini terdapat kesalahan yang kita buat siasatan terlebih dahulu dan ada yang kita ambil tindakan serta-merta dengan jumlah sitaan sebanyak RM12,736 manakala kompaun yang dikenakan pula berjumlah RM13,800," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan harga sempena SHMMP 2021 di sebuah pasar raya, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kes paling tinggi dicatatkan di negeri Johor, diikuti Terengganu dan Kelantan.

"Keseluruhan jumlah pemeriksaan yang dijalankan selama lapan hari skim ini berlangsung di seluruh negara adalah sebanyak 16,435 di mana 292 adalah pemborong dan 16,143 adalah peruncit.

"Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan pematuhan peniaga menerusi skim ini disebabkan aduan yang diterima cuma 11 kes sahaja daripada keseluruhan pemeriksaan di seluruh negara.

"Cuma kita menasihati peniaga agar terus mematuhi skim ini supaya mereka dapat merancang perniagaan di samping pengguna juga turut mendapat harga yang munasabah," katanya.

Artikel Berkaitan: