X

Kindly register in order to view this article
!

Pematuhan SOP amat penting semasa pergerakan pulang mahasiswa

Keputusan KPT dan MKN membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang berhari raya bersama keluarga dapat memberi kelegaan kepada pelajar yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman. -Gambar fail Bernama.
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang berhari raya bersama keluarga dapat memberi kelegaan kepada pelajar yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, MPPK menyambut baik keputusan KPT dan MKN namun mengakui keputusan tersebut dapat memberi impak yang besar terhadap keselamatan pelajar.

"Pengumuman ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada pelajar di kampus dan membolehkan mereka menyambut hari raya bersama keluarga, terutamanya mereka yang sudah lama tidak pulang ke kediaman masing-masing.

"Sudah tentu keputusan ini besar impaknya terutamanya kepada pihak pengurusan IPT dalam perihal logistik dan keselamatan mahasiswa namun kami percaya dengan pengalaman semasa Ops Hantar Pulang pada tahun lalu sudah memadai untuk setiap IPT bersiap sedia dengan lebih baik pada kali ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPPK berharap agar rakan-rakan mahasiswa terus cakna dengan pengumuman ini serta bersiap sedia secara individu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang masalah semasa pulang ke kediaman masing-masing.

"Pematuhan SOP amatlah penting semasa pergerakan pulang mahasiswa pada kali ini dan kami berharap agar semuanya akan dipermudahkan.

"Dengan kesempatan ini juga, MPPK mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada pihak KPT, MKN dan setiap IPT atas kecaknaan terhadap situasi pelajar dan kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan selagi mana kita masih memerangi Covid-19," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!