X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan dolak dalih laksana Undi 18

Akmal menunjukkan salinan memorandum yang dihantar kepada pihak MBJB mengenai PR1MA yang sudah mendapat CCC sedangkan projek itu masih belum siap, di Ibu Pejabat MBJB, Johor Bahru pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan agar pengundi 18 tahun dapat menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana keputusan itu sudah dipersetujui majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md Nasir berkata, keputusan pengundi 18 tahun itu sepatutnya sudah boleh dilaksanakan pada Julai atau Ogos ini.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata, Undi 18 sepatutnya tidak diletakkan atas faktor 'mungkin' dilaksanakan pada PRU15 atau faktor tidak beri keyakinan kepada anak muda untuk mengundi kerajaan sedia ada.

"Begitu juga soal boleh dapat sokongan anak muda atau tidak (jika undi 18 dilaksanakan) atau kerajaan bimbang mereka (jika dibenarkan mengundi) nanti golongan ini akan membantah kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili para pembeli Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Residensi Tebrau menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Miswan Yunos di Ibu Pejabat MBJB, di sini pada Khamis.

Memorandum tersebut mempersoalkan bagaimana projek PR1MA tersebut memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sedangkan sistem perpaipannya masih belum siap.

ARTIKEL BERKAITAN: Undi 18 bakal dilaksanakan pada PRU15?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada Khamis yakin SPR akan mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan pelaksanaan pengundi 18 tahun dapat direalisasikan pada PRU15.

Takiyuddin berkata, kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.

Akmal berkata, Takiyuddin sepatutnya tidak perlu lagi berdolak dalih dalam perkara tersebut kerana akan memberi gambaran yang tidak sihat dan imej buruk terhadap kerajaan pada hari ini.

Jelasnya, mungkin disebabkan masih ragu-ragu untuk mendapat sokongan golongan tersebut maka kerajaan serba salah untuk melaksanakannya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!