MU tanpa lima tonggak, Kedah tidak pandang mudah

Kpah Sherman (tengah) bakal diturunkan menentang MU pada Jumaat selepas digantung satu perlawanan pada aksi lalu. -Foto KDA FC
Kpah Sherman (tengah) bakal diturunkan menentang MU pada Jumaat selepas digantung satu perlawanan pada aksi lalu. -Foto KDA FC
A
A
A

KETIADAAN lima tonggak utama Melaka United (MU) tidak memberikan kelebihan kepada Kedah Darul Aman (KDA) apabila bertemu pada aksi ke-11 Liga Super 2021 di Stadium Hang Jebat pada malam Jumaat.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, semangat MU berada pada tahap yang tinggi selepas menewaskan Perak FC 1-0 di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, beliau juga mungkin tidak dapat menurunkan kesebelasan utama pada perlawanan tersebut kerana keputusan kad merah Fazrul Daniel Mohd Azman dan Rodney Celvin ketika menentang Terengganu FC pada 9 April lalu juga bakal diketahui pada Jumaat.

"MU masih mempunyai kelebihan kerana perlawanan ini beraksi di laman mereka dan jangan lupa MU berjaya menang ke atas Perak FC di laman lawan baru-baru ini dan sudah tentu meningkatkan motivasi mereka.

"Keputusan ke atas Fazrul dan Rodney juga bakal diketahui pada Jumaat, kami masih tidak tahu apa keputusannya namun persediaan untuk sebarang kemungkinan sudah dilakukan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,Alor Setar sebelum berlepas ke Melaka pada Khamis.

Media melaporkan MU berdepan saingan yang mencabar daripada KDA FC apabila lima pemain utamanya tidak dapat diturunkan disebabkan oleh kecederaan dan pengantungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, pengendalinya, Zainal Abidin Hassan tidak mempunyai pilihan selain bakal membariskan pemain simpanan.

Mengulas lanjut, Aidin Sharin berkata, beliau menaruh keyakinan yang tinggi kepada semua pemainnya untuk diturunkan pada aksi bertemu MU termasuk pemain muda.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemain-pemain muda juga dinasihatkan terus mengekalkan prestasi selain tidak cepat berpuas hati selepas mempamerkan aksi meyakinkan pada beberapa perlawanan terdahulu.

"Pemain muda jika diberi peluang untuk turun beraksi memang mereka akan memberikan yang terbaik. Perkara ini disebabkan mereka dikelilingi oleh pemain lama jadi banyak benda yang boleh dipelajari untuk terus maju pada masa hadapan,” katanya.