Kesan pandemik di India tidak jejas import bekalan makanan

India kini mempunyai 18 juta kes jangkitan Covid-19 iaitu penambahan sebanyak 360,000 kes dalam tempoh 24 jam yang merupakan rekod baharu dunia.
India kini mempunyai 18 juta kes jangkitan Covid-19 iaitu penambahan sebanyak 360,000 kes dalam tempoh 24 jam yang merupakan rekod baharu dunia.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) belum menerima sebarang laporan berhubung kekurangan bekalan makanan yang diimport dari India susulan peningkatan kes wabak Covid-19 di negara itu ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai ketidakcukupan bekalan makanan terutamanya bawang merah, beras dan daging yang diimport dari negara berkenaan terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.

"Setakat ini, belum ada kesan (kekurangan bekalan makanan) yang dihadapi di Malaysia. Maknanya kesan terhadap pandemik Covid-19 yang melanda India belum memberi kesan kepada bekalan makanan yang diimport.

"Namun, sekiranya terjadi (kekurangan bekalan makanan), kami akan memikirkan langkah yang sesuai bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

"Kerajaan sentiasa menitikberatkan mengenai aspek sekuriti makanan sejak pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan merasmikan Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kadar kematian dan jangkitan harian Covid-19 di India mencatat rekod tertinggi dengan ribuan pesakit berada di ambang maut di seluruh negara itu.

Lebih 340,000 jangkitan baharu turut dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 16.5 juta kes, di negara kedua paling teruk terjejas akibat wabak itu selepas Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan mendadak kes Covid-19 itu dikaitkan kepada kemunculan varian baharu dan 'super spreader' atau perebak utama ketika India mengadakan pilihan raya baru-baru ini serta upacara keagamaan dihadiri jutaan orang. - Bernama