Enam lelaki curi 30 kampit beras diberkas polis

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Enam lelaki yang memecah masuk sebuah kilang dan mencuri 30 kampit beras di Taman Sri Putri, Kulai, Selasa lalu diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua lelaki terbabit berusia 20 hingga 34 tahun itu ditahan menerusi lima serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan Kulai dan Senai, di sini pada Rabu.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima laporan berhubung sebuah kilang di Taman Putri Kulai telah dipecah masuk.

"Kejadian itu disedari oleh pengadu kira-kira jam 5 petang setelah mendapati kunci mangga pintu hadapan kilang di Jalan Sri Putri dirosakkan selain mendapati beras bertaburan di lantai kilang.

"Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati beras bertaburan di lantai kilang sebelum menyedari sejumlah 30 kampit beras hilang dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,000.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis membuat serbuan dan menahan kesemua individu di lokasi berbeza kira-kira pukul 4.30 pagi hingga 8.15 pagi pada Rabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Beng Yeow, polis turut merampas 44 kampit beras, sebatang kuku kambing, pemotong besi, tiga baju, dua seluar jeans, selain lori 'trailer' Mitsubishi dan dua motosikal dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000

"Hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku terbabit dalam pecah masuk kilang di kawasan Taman Putri. Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah

Artikel Berkaitan:

"Lima daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain dua daripadanya mempunyai rekod orang dikehendaki berkaitan kes dadah dan memiliki senjata api," katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari mulai Khamis hingga 5 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.