Karikatur MB Kedah: Polis ambil keterangan Zunar Ahad depan

Kartunis Zulkiflee SM Anwar Haque atau Zunar
Kartunis Zulkiflee SM Anwar Haque atau Zunar
A
A
A

ALOR SETAR - Kartunis Zulkiflee SM Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, pada Ahad depan berhubung lukisan karikatur yang didakwa mengkritik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, Zunar dipanggil untuk diambil keterangannya susulan terdapat laporan polis terhadapnya.

Beliau berharap semua pihak terlibat memberikan kerjasama dalam siasatan kes berkenaan.

“Zunar dipanggil ke IPD Padang Terap untuk bantu siasatan sahaja berkaitan lukisan kartun olehnya yang diterbitkan di Facebook miliknya pada 23 Januari lalu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Zunar turut mengakui dihubungi oleh pegawai polis berpangkat Inspektor dari IPD Padang Terap untuk hadir bagi melengkapkan siasatan berhubung kartun yang dihasilkannya pada 23 Januari lalu.

“Kartun itu disiarkan dalam Facebook, Zunar Kartunis Fan Club. Saya akan hadir di IPD Padang Terap pada 11 pagi, Ahad," katanya.

Pada 21 Januari, Muhammad Sanusi mengumumkan tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam susulan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu mencetuskan kemarahan segelintir pihak, termasuk Timbalan Presiden MIC, M Saravanan yang dilaporkan berkata Pas, yang dianggotai Muhammad Sanusi perlu mendidiknya menjadi pemimpin untuk semua kaum.

Susulan itu, pada 25 Januari, Pemuda Pas Kedah membuat laporan polis terhadap Zunar berhubung karikatur berkenaan yang didakwa memberi gambaran buruk dan memfitnah Menteri Besar Kedah itu.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid menempelak Zunar kerana beliau boleh saja menghubungi Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan penjelasan, berbanding melakar karikatur menyerupai Muhammad Sanusi memotong sebuah meja yang diduduki masyarakat pelbagai kaum, dengan kata-kata: ‘Orang Kedah hidup aman damai sebelum dia ni mai.’

Pihaknya mahu isu berkenaan menjadi pengajaran bahawa bukan sewenang-wenang semua perkara boleh dipolitikkan sesuka hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas lapor polis isu karikatur MB Kedah