73 dilantik rakan usahawan MAINS

Abdul Aziz (tengah) beramah mesra dengan usahawan yang dilantik sebagai Rakan Usahawan MAINS.
Abdul Aziz (tengah) beramah mesra dengan usahawan yang dilantik sebagai Rakan Usahawan MAINS.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 73 usahawan dari pelbagai bidang dilantik sebagai Rakan Usahawan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, ia merupakan inisiatif baharu bagi mewujudkan hubungan strategik dengan para usahawan bertujuan memberikan perkhidmatan kepada golongan asnaf.

"Usahawan yang dilantik ini terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan dan ada juga dari koperasi masjid dan perubatan.

"Maksudnya mereka ini terlibat terus dengan MAINS kerana kita agihkan wang zakat itu melalui mereka yang kemudian beri perkhidmatan kepada golongan asnaf dan fakir miskin," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rakan Usahawan MAINS di sini, pada Khamis.

Menurutnya, ia juga sebagai salah satu usaha MAINS untuk memperkukuhkan lagi kegiatannya dalam soal pengagihan zakat.

Kata beliau, para usahawan itu dilantik untuk bekerjasama dengan MAINS dalam tempoh dua tahun dan dari masa ke masa penambahbaikan akan dilakukan.

"Setiap penerima bantuan boleh dapatkan terus bantuan daripada setiap panel rakan usahawan yang dilantik di setiap lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka,"katanya.

Selain itu katanya, hasil kerjasama itu juga dapat mendorong usahawan menunaikan zakat perniagaan dan berwakaf serta memberikan tajaan dan sumbangan terhadap program asnaf di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM148 juta diagihkan MAINS tahun lalu khusus buat golongan usahawan.

Untuk rekod, usahawan yang terlibat bagi siri 1 tahun 2021 ialah, seramai 19 panel Hemodialis, 17 panel peralatan perubatan, 29 panel pembekalan makanan asnaf fakir dan miskin dan lapan panel pembekalan makanan asas asnaf mualaf.