Petisyen pilihan raya Jasin: Mahkamah perintah bicara

Khairuddin
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan oleh calon Pakatan Harapan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum membenarkan rayuan Khairuddin untuk kes itu dikembalikan bagi dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang baharu.

Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Khairuddin selepas membenarkan bantahan awal oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Malanjum berkata mahkamah menerima dua alasan yang dikemukakan oleh peguam Khairuddin, Datuk Seri Gopal Ram.

Mahkamah bersetuju dengan Sri Ram bahawa petisyen difailkan dengan betul di Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur selain Khairuddin menyertakan maklumat mencukupi dalam petisyennya.

“Kami akan kemukakan alasan bertulis kemudian,” kata Malanjum yang menetapkan Jumaat ini untuk sebutan kes.

Beliau turut memerintahkan Ahmad membayar kos RM20,000.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tengku Mat.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak petisyen Khairuddin atas alasan petisyen itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka iaitu di mana pilihan raya diadakan bukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah deklarasi keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu didakan.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia