Mansuhkan UPSR keputusan drastik: Anwar

Anwar (kanan) berbual bersama sebahagian guru yang hadir ke program peluncuran aplikasi tuisyen percuma Port Dickson pada Khamis.
Anwar (kanan) berbual bersama sebahagian guru yang hadir ke program peluncuran aplikasi tuisyen percuma Port Dickson pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON -Tindakan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah satu keputusan yang dianggap drastik.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut diragui dalam masa sama mempersoalkan sama ada tindakan terbabit telah mengambil kira kesan jangka pendek dan panjang.

Menurutnya, setiap keputusan melibatkan dasar utama dalam kementerian berkenaan mesti dibahaskan di banyak peringkat.

"Ini bukan soal menteri dan beberapa orang pakar, mesti tanya ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar pendidikan dalam pelbagai bidang dan selalunya dibahaskan secara lebih terbuka, kemudian ambil keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau anak-anak mereka bagi memastikan sesi pembelajaran di rumah berjalan lancar.

Katanya, alat peranti yang diberikan kepada pelajar perlu digunakan sebaik mungkin dan dikawal hanya untuk penggunaan pembelajaran.

Pada Rabu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini pula dibatalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mansuh sepenuh, PT3 dibatalkan tahun ini

Dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun Enam akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.