Bandar mesra umur di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Pelancaran 'Malaysia Urban Forum (MUF) 2019' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa merancang melaksanakan projek bandar mesra umur di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata tujuan utama projek itu adalah untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan masyarakat dalam perancangan tempatan dengan matlamat mewujudkan persekitaran yang mesra kanak-kanak, warga tua dan kurang upaya.

Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah berkata kementerian juga mempertimbangkan cadangan untuk bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) ke arah merealisasikan konsep Kota Mesra Kanak-kanak di Malaysia.

"Konsep ini membayangkan sebuah bandar atau komuniti di mana suara, keperluan, kepentingan dan hak kanak-kanak menjadi keutamaan dalam membangunkan dasar dan program di peringkat kerajaan tempatan.

“Bandar-bandar kita perlu mesra umur, kanak-kanak dan jantina dalam kita mempersiapkan diri bagi menghadapi perubahan dalam profil sosial, "katanya ketika merasmikan Forum Bandar Raya 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata 77 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 80 peratus atau 26 juta orang menjelang 2030.

Beliau berkata jumlah penduduk yang tinggi di bandar-bandar akan bererti cabaran urbanisasi seperti pelupusan sisa pepejal, kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, sumber air yang terhad, bekalan rumah yang berpatutan tidak mencukupi, permintaan untuk perkhidmatan asas di bandar dan banjir yang teruk.

"Kita juga akan dicabar oleh perubahan dalam profil demografi di mana Malaysia akan menghadapi masalah penuaan masyarakat menjelang 2030 di mana hampir 15.3 peratus daripada penduduk akan berusia 60 tahun ke atas dan ini membawa cabaran baharu dalam keperluan perkhidmatan kesihatan dan persekitaran fizikal,” tambah beliau.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di dunia yang mempunyai Dasar Perbandaran Negara sebagai pengiktirafan kepada hakikat bahawa semakin banyak kawasan perbandaran di negara ini.

Beliau berkata pengurusan yang cekap, perkongsian, ketelusan dan akauntabiliti dapat meningkatkan daya saing bandar bagi menarik pelaburan dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang sihat di bandar.

Dr Wan Azizah berkata daya hidup juga merupakan komponen teras dalam daya saing, oleh itu bandar mesti mempunyai kemudahan asas yang komprehensif, infrastruktur, pengangkutan awam yang baik, persekitaran yang selamat dan persekitaran yang selesa dan bersih.

"Tidak mengira di mana di bandar itu atau apa status sosial seseorang, semua rakyat harus mempunyai akses yang sama kepada kemudahan dan infrastruktur awam," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa KPWKM sedang merangka Pelan Tindakan Akses Kebangsaan untuk orang kurang upaya yang akan menghasilkan masyarakat yang progresif dan inklusif sejajar dengan semangat Malaysia yang baru.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif. - Bernama