Berwakaf kini hanya di hujung jari

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

ALOR SETAR – Wakaf adalah salah satu ibadah yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT melalui harta kekayaan.Apabila sebut sahaja tentang wakaf, kita lazimnya didedahkan mengenai wakaf harta ataupun al-Quran dan jarang-jarang kita mengetahui tentang wakaf tunai yang juga dituntut oleh Islam.

Oleh itu Sinar Harian membawakan temubual khas bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Mohd Yusri Mohd Daud untuk mengupas isu Skim Dana Wakaf Tunai yang diperkenalkan oleh MAIK sejak 2014. Ikuti sesi temubual berkenaan yang dikendalikan Wartawan Sinar Harian, Roshila Murni Rosli.

Sinar Harian (SH): Sebelum kita bercerita lanjut tentang Skim Dana Wakaf Tunai ini, bolehkah Tuan Haji jelaskan tentang peranan MAIK di negeri ini?

Mohd Yusri (MY):MAIK memainkan peranan sebagai badan penasihat agama tertinggi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri di dalam perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan Agama Islam di negeri ini.

Pada 15 Mei 2008, Pentadbiran Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Kedah diletakkan di bawah pengurusan ketua jabatan yang berasingan. MAIK diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah, manakala Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah diketuai oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah yang juga merupakan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

Selain itu, Majlis juga berperanan untuk membuat dasar-dasar berhubung dengan pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di Negeri Kedah dan segala dasar tersebut akan dilaksanakan oleh MAIK melalui bahagian-bahagian di MAIK dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Majlis hendaklah memastikan segala dasar yang dibuat dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008, Majlis Agama Islam Negeri Kedah merupakan pemegang amanah tunggal bagi wakaf, nazar dan amanah di dalam negeri Kedah Darul Aman.

SH: Berbalik kepada topik kita hari ini, bagaimanakah wakaf tunai ini mula diperkenalkan di Kedah?

Artikel Berkaitan:

MY: MAIK telah memperkenalkan Skim Dana Wakaf Tunai Majlis Agama Islam Negeri Kedah bermula Oktober tahun 2014, diuruskan oleh Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah (TABK) bertempat di ibu pejabat MAIK dan dibantu oleh kakitangan MAIK yang bertugas di setiap Pejabat Agama Daerah seluruh negeri Kedah.

Di Kedah khususnya, telah menjadi amalan masyarakat Islam di negeri ini dengan amalan wakaf kaki atau wakaf jemba (64kp) yang dilaksanaan secara pembelian tanah kaki persegi atau jemba kemudiannya diwakafkan untuk tujuan tapak masjid, perkuburan, sekolah- sekolah agama dan lain- lain.

Konsep wakaf kaki bermaksud pihak pelaksana perlu menyediakan lot- lot tanah terlebih dahulu dan seterusnya tanah tersebut dibahagikan secara kecil berkeluasan 1 kaki atau 1 jemba ( 64kp). Hasil daripada jualan menjadi sumber untuk membiayai kos tanah, pembinaan bangunan dan pengurusan lain- lain.

Dengan taraf hidup dan nilai hartanah yang semakin meningkat pada hari ini, masyarakat semakin sukar untuk mewakafkan aset-aset kekal. Oleh itu, MAIK mengambil inisiatif memperkenalkan Skim Dana Wakaf Tunai MAIK untuk menggalakkan masyarakat berwakaf.

Alhamdulillah, setelah enam tahun diperkenalkan, masyarakat yakin dan memberi impak yang positif terhadap Skim Dana Wakaf Tunai ini dengan program-program dan aktiviti yang dianjurkan bagi memperkenalkan wakaf tunai seperti khutbah Jumaat, pameran booth, seminar wakaf tunai dan sebagainya.

Syarat-syarat pewakaf pula adalah, pewakaf mestilah:

a) Islam

b) Baligh

c) Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.

d) Harta yang hendak diwakafkan hendaklah dimiliki penuh oleh pewaka.

e) Berwakaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan dari sesiapa

f) Ahli tabarruk (tidak diisytihar muflis/mempunyai tanggungan hutang)

SH: Adakah terdapat fatwa tertentu yang menjelaskan tentang wakaf tunai ini dengan lebih lanjut?

MY: Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang telah bermesyuarat pada 4 Rabiulakhir 1430 bersamaan 31 Mac 2009 telah memutuskan pelaksanaan wakaf tunai di Negeri Kedah dibolehkan dan mengikut pandangan Mazhab Syafie bahawa wakaf boleh digabungkan dengan wakalah. Seperti lafaz atau sighah berikut:

(saya memberi wang RM100 wakil kepada tuan untuk membeli harta wakaf bagi pihak saya)

Menurut fatwa Negeri Kedah masyarakat Islam di negeri ini masih berpegang kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu dengan menggunakan sistem wakalah iaitu wang dipungut terlebih dahulu dan wang yang dikumpulkan tersebut akan digunakan untuk membeli aset-aset kekal untuk tujuan pembangunan tanah wakaf demi kepentingan masyarakat keseluruhannya.

SH: Boleh Tuan Haji terangkan dengan lebih lanjut berapakah hasil kutipan wakaf tunai setakat ini dan bagaimanakah hasil kutipan ini diagihkan?

MY: Bermula pada tahun 2014 sehingga tahun ini, MAIK telah berjaya mengumpul sebanyak RM4,554,069.35 iaitu RM2,760.00 (2014), RM 675,000.20 (2015), RM 174,504.70 (2016), RM 616,660.91 (2017),RM485,091.17 (2018), RM 2,129,403 (2019) dan RM470,649.37 (2020).

Hasil kutipan dana wakaf tunai akan digunakan bagi dua tujuan iaitu yang pertama, pembelian aset yang mana MAIK akan membeli tanah untuk tapak masjid, surau, perkuburan Islam dan lain- lain lagi yang berkepentingan.

Kedua, digunakan untuk pembangunan yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu, agama (pembinaan masjid dan surau), sosial (asrama anak yatim, pusat perlindungan wanita dan saudara baru), komersil (bangunan perniagaan) dan pendidikan (pembangunan infrastruktur institusi pendidikan dan sekolah agama).

Bagaimanapun, MAIK dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Bill 3/2017 yang telah bersidang pada 12 Julai 2017 telah bersetuju memutuskan supaya hasil dana wakaf yang dikutip pada peringkat awal pelaksanaan ini digunakan untuk membina sebuah masjid yang terletak di Kampung Hujong Keton, daerah Pendang dengan membabitkan kos sebanyak RM4.5 juta.

Pembinaan masjid ini menjadi keutamaan memandangkan kariah baharu ini belum mempunyai masjid dan jemaah hanya menunaikan solat Jumaat di surau sementara yang dibenarkan.

SH: Sekiranya terdapat individu yang berminat untuk berwakaf, bagaimanakah pula caranya?

MY: MAIK menerima pembayaran wakaf tunai melalui beberapa kaedah yang pertama melalui kaunter di MAIK atau mana-mana pejabat agama daerah,yang kedua melalui arahan bank atau 'auto debit' yang ketiga menggunakan aplikasi SnapNPay dan JomPAY, yang keempat melalui pembayaran atas talian ke akaun-akaun berikut:

Nama Akaun: Kumpulan Wang Majlis Agama Islam Kedah

Nombor Akaun 02011010138657 (Bank Islam Malaysia Berhad)

Nama Akaun: Kumpulan Wang Majlis Agama Islam Negeri Kedah

Nombor Akaun: 02010005467718 (Bank Muamalat Malaysia Berhad)

Antara projek yang masih dibuka untuk sumbangan.
Antara projek yang masih dibuka untuk sumbangan.

Yang terakhir, MAIK turut menawarkan skim wakaf melalui potongan gaji kepada kakitangan awam kerajaan negeri Kedah,Badan Berkanun, Anak Syarikat Negeri (GLC) dan swasta.Bagi golongan ini mereka boleh memuat turun borang melalui laman sesawang www.maik.gov.my atau boleh didapati di Majlis Agama Islam Kedah yang terletak di Bangunan Wan Mat Saman,Alor Setar. Manakala bagi kakitangan awam kerajaan Persekutuan (kod 4474) borang boleh dimuat turun di laman sesawang www.ywm.gov.my

Selain daripada projek pembinaan Masjid Fathul Majid, terdapat beberapa lagi projek lagi yang masih dibuka untuk kutipan dana wakaf tunai dan MAIK mengalu-alukan orang ramai untuk turut sama berwakaf bagi membantu menyiapkan projek berkenaan.

Antara projek yang masih memerlukan sumbangan adalah, pembinaan Masjid Jamek Al-Hidayah, pembinaan Masjid Daerah Kulim, Tapak Perkuburan Islam Taman Uda, Alor Setar, dan pembinaan Masjid Jami’ul Khair, Kariah Kampung Tong Pelu, Mukim Pedu,di Padang Terap

SH: Sebelum berakhir sesi temubual ini, dikhabarkan MAIK turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi dalam melaksanakan Skim Dana Wakaf Tunai, boleh Tuan Haji jelaskan?

MY: Ya, bagi memperluaskan skop wakaf tunai ini, MAIK telah bekerjasama dengan tiga agensi iaitu Yayasan Waqaf Malaysia, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Wakaf Kedah Muamalat) dan Universiti Utara Malaysia (Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia).

Bagi Yayasan Waqaf Malaysia MAIK kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan potongan gaji kakitangan awam persekutuan melalui kod potongan 4474 untuk dana wakaf tunai. Seterusnya hasil daripada potongan gaji ini akan disalurkan kembali untuk manfaat rakyat negeri Kedah melalui MAIK.

Manakala bagi Wakaf Kedah Muamalat (WKM) ia adalah inisiatif bersama antara MAIK dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dalam mengumpulkan wakaf tunai daripada orang ramai dan korporat. Dana tersebut akan digunakan untuk membiayai projek-projek wakaf yang telah ditentukan atas persetujuan bersama.

QR wakaf tunai melalui aplikasi SnapNPay
QR wakaf tunai melalui aplikasi SnapNPay

Kerjasama MAIK dan BMMB adalah melalui penubuhan jawatankuasa pengurusan bersama yang terdiri daripada wakil kedua-kedua pihak dan seorang pengerusi bebas. Melalui kerjasama ini, dana wakaf akan diagihkan ke projek-projek di bawah sektor pendidikan dan kesihatan.

Hasil kutipan dana wakaf tunai melalui usahasama Wakaf Kedah Muamalat (WKM) ini akan digunakan bagi tujuan projek pembinaan Inap Wakaf iaitu asrama 3 tingkat untuk pelajar Maktab Mahmud Alor Setar dengan kos sebanyak RM2.4 juta.

Akhir sekali adalah Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia. Menurut peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008,Majlis Agama Islam Negeri Kedah adalah merupakan pemegang amanah tunggal bagi wakaf, nazar dan amanah di dalam negeri Kedah Darul Aman. Pada 19 September 2019, termeterainya satu Memorandum Perjanjian bagi penubuhan Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia.

Dengan termeterainya perjanjian usahasama ini, maka secara rasminya MAIK memberi kebenaran dan kepercayaan kepada UUM untuk melaksanakan kutipan Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia bagi tujuan pendidikan dan pembangunan modal insan untuk manfaat dan faedah pelajar.

UUM juga serta secara tidak langsung memainkan peranan sebagai penggerak di dalam amalan wakaf dan sedekah jariah khususnya kepada warga kerja kampus dan masyarakat yang ingin menyumbangkan dana wakaf sama ada melalui potongan gaji dan sebagainya.

Semoga dengan terjalinnya usahasama antara dua institusi ini, pengurusan wakaf dapat dikembangkan dengan lebih meluas dan profesional bagi memastikan konsep dan amalan wakaf dapat disuburkan sesuai dengan perkembangan semasa.