Inkues Adib: Terima kasih Narresh!

Narresh antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Narresh antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Saksi kesembilan, R Narresh menerima ucapan terima kasih daripada Peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Ahmad Taufiq Baharom atas pertolongannya membantu dan menghantar anggota bomba ke hospital selepas cedera dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.

"Terima kasih," katanya.

Sambil mengangguk, Narresh yang juga anggota sukarelawan Pertahanan Awam berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan Muhammad Adib.

"Bomba datang nak tolong orang awam, tetapi apabila jadi seperti ini, siapa nak bantu dia," katanya.

Sementara itu dalam pemeriksaan balas oleh Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor, Narresh berkata, dia sangat mengharapkan Muhammad Adib kembali sihat seperti sediakala.

"Saya harap dia sihat dan jumpa saya tetapi dia pergi (meninggal dunia).

"Pada hari dia meninggal, saya naik bas dan tren dari Klang untuk ke kampung Muhammad Adib, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, namun apabila sampai semuanya sudah selesai," katanya dalam keadaan sebak.

Sementara itu, Narresh memberitahu Koroner, Rofiah Mohamad bahawa dia kesal mengenai komen rakyat terhadapnya di dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Saya menerima ancaman menerusi perkataan daripada mereka dan sangat sedih," katanya.

Menurutnya, sebagai saksi dia tidak memburukkan dan memihak kepada mana-mana pihak.

"Sehingga sekarang ada yang menghubungi saya.

"Saya baru saksi kesembilan, ada ramai lagi...Tolong jangan cakap benda bukan- bukan," katanya.