Ruang pemain naturalisasi bukti kemampuan

De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang mampu memberi impak kepada barisan depan Harimau Malaya. Gambar kecil: Sathianathan
De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang mampu memberi impak kepada barisan depan Harimau Malaya. Gambar kecil: Sathianathan
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan percaya pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah mempunyai perancangan terbaik dalam mengharungi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Menurut Sathianathan, Cheng Hoe merupakan jurulatih yang teliti dalam menyediakan perancangan termasuk telah bersiap sedia dengan beberapa pelan sekiranya terdapat tonggak utama pasukan tidak menyerlah ekoran kurang diberikan minit bermain bersama pasukan masing-masing.

Malah, Sathianathan turut menyifatkan skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan terutama dengan kehadiran pemain naturalisasi yang akan menguatkan pasukan negara menjelang perlawanan kelayakan itu nanti.

"Saya kenal coach Cheng Hoe dan beliau sudah tentu ada pelan A, B dan C. Beliau juga akan buat keputusan selepas meneliti setiap aspek dengan menyesuaikan pemain mana yang boleh digunakan untuk berada di posisi tertentu jika ada pemain utama yang kurang menyerlah.

"Lagipun, kita ada pemain naturalisasi seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula. Sudah tentu kedua-dua mereka akan diberikan peluang untuk menunjukkan keupayaan mereka dalam aksi kelayakan tersebut.

"Coach Cheng Hoe juga akan memantau tiga baki perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) untuk melihat kesemua pemain yang beraksi. Di situ, beliau akan menilai pemain dan sudah tentu akan ada banyak pilihan untuk coach Cheng Hoe," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, kekurangan minit bermain tiga tonggak utama Harimau Malaya iaitu Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Muhammad Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) jelas meresahkan peminat bola sepak negara menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan.

Safawi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan hanya menjadi pemain gantian dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super manakala Sumareh dan Syafiq sedang bergelut untuk mencuri tempat dalam skuad bimbingan Benjamin Mora itu.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Sumareh ketika ini menjadi penjaring terbanyak untuk skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan tersebut dengan tiga gol, manakala Safawi dan

Syafiq masing-masing telah menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan yang telah diharungi pasukan kebangsaan.

Sathianathan turut berpendapat kekurangan minit bermain ketiga-tiga tonggak Harimau Malaya itu bukan masalah besar kerana pemain tersebut merupakan pemain yang sudah terbukti dari segi kemampuan ketika bersama skuad kebangsaan.

"Bagi saya, ketiga-tiga pemain itu mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan mereka juga tahu apa yang perlu dibuat terutama usaha keras dalam sesi latihan kelab untuk memastikan bersedia sebelum dipanggil ke pasukan kebangsaan.

"Saya juga yakin mereka akan diturunkan dalam tiga baki perlawanan liga akan datang sekiranya tahap kecergasan berada pada tahap terbaik. Jadi, sebagai peminat teruskan bagi kepercayaan kepada pemain dan pasukan kebangsaan kita.

"Coach Cheng Hoe juga sudah tentu akan ada formula terbaik membentuk pasukan mantap sebelum perlawanan kelayakan itu nanti," katanya.