X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: MAHB tidak akan buang pekerja

Zambry ketika sidang media pada Program #MYAirportCARES di Terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak bercadang melaksanakan pembuangan pekerja walaupun berdepan situasi mencabar akibat penularan Covid-19.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya tekad menjaga dan memastikan kebajikan kira-kira 10,000 pekerja pengendali lapangan terbang berkenaan terbela.

Menurut beliau, bilangan penerbangan kapal terbang termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk sebelum ini mula menurun sejak tahun lepas.

"Buat kali pertama, kita tidak untung namun kita anggap ia cabaran bagaimana untuk menguruskan lapangan terbang dengan sebaiknya termasuk tentang kebajikan kakitangannya. Ini yang kita bincang di peringkat atas.

"Seperti semua sedia maklum ada syarikat besar didapati mengambil jalan mudah iaitu apabila bisnes tiada maka mereka menutup kilang, menutup syarikat atau membuang pekerja, itu cara paling mudah," katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Asas #MYAirportCARES di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, beliau bagaimanapun memberitahu, semua pihak supaya tidak berbuat sedemikian dan hanya terpaksa melakukannya apabila sudah tidak berupaya berbuat apa-apa lagi.

"Alhamdulillah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dengan semua pihak pengurusannya berusaha bersungguh-sungguh memastikan supaya kebajikan pekerja, kita dapat pertahankan dan jaga elok-elok," katanya.

Tambah beliau, sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB berusaha dan ada membuat beberapa langkah dalam memastikan hal-hal berkaitan dengan pekerja dijaga dengan sebaik-baiknya.

Ketika diminta mengulas nasib peruncit kecil di lapangan terbang, Dr Zambry berkata, beliau amat bersimpati dengan masalah dihadapi apabila ada yang terpaksa gulung tikar namun ada masih bertahan.

Katanya, seperti semua sedia maklum apa-apa sahaja berkaitan dengan aktiviti penerbangan tempatan atau luar negara pastinya terjejas dengan keadaan semasa, bagaimanapun pihak lapangan terbang sama-sama mengambil langkah untuk mengatasinya.

"Paling mustahak, kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua ekosistem yang berkaitan bidang perniagaan ini kita dapat bekerja bersama-sama," katanya.

Beliau menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada 350 keluarga B40 terpilih di sekitar Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim menerusi program tanggungjawab korporat (CR) #MyAirportCARES Ceria Ramadan.

Dr Zambry berkata, Kedah merupakan negeri pertama menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak, gula,susu, makanan kering dan pelitup muka.

Menurutnya, kira-kira RM400,000 diperuntukkan menerusi program #MYAirportCARES Ceria Ramadan untuk menyalurkan sumbangan kepada 1,000 keluarga B40 terpilih di seluruh negara untuk meringankan beban mereka terkesan akibat Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!