Pas, UMNO Pahang setuju tanding di kerusi yang menang

Wan Rosdy (kanan) dan Rosli (kiri) menunjukkan isi perjanjian dalam MN mengenai pengagihan kerusi DUN di Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini pada malam Rabu.
Wan Rosdy (kanan) dan Rosli (kiri) menunjukkan isi perjanjian dalam MN mengenai pengagihan kerusi DUN di Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini pada malam Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pas dan UMNO Pahang setuju untuk bertanding di kerusi dimenangi parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan setelah kedua-dua parti bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, UMNO Pahang bersetuju untuk tidak meletakkan calon di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi calon Pas pada PRU14.

"Pihaknya (UMNO Pahang) bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama atau menyokong mana-mana calon yang bertanding di lapan kerusi berkenaan kecuali jika yang bertanding itu adalah calon daripada Pas.

"Begitu juga sebaliknya, kita berharap Pas Pahang berpandukan persetujuan itu tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi dimenangi BN (Barisan Nasional) pada PRU14 dan tidak akan menyokong mana-mana calon kecuali dari BN atau UMNO yang dipilih sebagai calon di kerusi terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca kenyataan bersama antara UMNO dan BN dan Pas Pahang selepas termeterai perjanjian MN dalam satu majlis ringkas di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini pada malam Rabu.

Perjanjian itu ditandatangani Wan Rosdy dan Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar.

Wan Rosdy berkata, kedua-dua parti bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kedudukan sembilan lagi kerusi DUN yang ketika ini disandang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa modul perpaduan ummah yang dipersetujui di Pahang perlu dijadikan panduan serta rujukan kepada negeri lain.

"Perjanjian ini dibuat bagi memperkukuhkan asas (penubuhan) MN seperti dipersetujui di peringkat Pusat sebelum ini.

"Dalam perjanjian ditandatangani hari ini yang mempunyai lapan perkara utama, kita ingin memberi jaminan bahawa persetujuan MN Pahang malam ini (Rabu) telah rasmi bersetuju mengukuhkan kerjasama politik," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, Pas Pahang akan memaklumkan kepada pucuk pimpinan parti itu di peringkat Pusat mengenai hasrat dan pendirian MN Pahang.

Bagaimanapun, beliau berharap pucuk pimpinan tertinggi dapat memberikan pertimbangan sewajarnya.

"Kita akan maklumkan kepada (Pas) Pusat dan terpulang kepada mereka untuk melihat kepada usaha yang kita lakukan hari ini. Semuanya bergantung kepada keputusan (Pas) Pusat dan UMNO pun perlu rujuk kepada pendirian Pusat.

"Apa yang penting kita mahu mereka melihat usaha yang sudah kita mulakan hari ini," katanya.