PKPD Kampung Baru Pasir Putih, Tawau tidak dilanjutkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau tidak akan dilanjutkan seperti diumum pada Selasa dan ditamatkan pada Rabu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai Covid-19 berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko terkini daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM telah melakukan 847 ujian saringan Covid-19 di Kampung Baru Pasir Putih, daripada jumlah itu 23 orang penduduk didapati positif, manakala 824 adalah negatif dan semua keputusan ujian saringan telah diketahui.

"Namun dalam masa yang sama kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Tawau untuk terus memantau keadaan di lokaliti tersebut bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal dengan sebaiknya," katanya menerusi satu kenyataan di sini malam Rabu.

Kampung berkenaan dikenakan PKPD bermula pada 1 April hingga 14 April kemudian disambung sehingga Rabu dan Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di lokaliti itu dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei depan.

Sementara itu Masidi berkata, satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Madai melibatkan 18 kes positif Covid-19 di Kunak dan 12 kes di Lahad Datu.

Beliau berkata, 87 kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Sabah pada Rabu dan 189 pesakit sembuh serta dibenarkan keluar daripada hospital. - Bernama

Artikel Berkaitan: