Jenaka rogol: ABIM gesa siasatan, hukuman segera dilakukan

Fatin Nur Majdina. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Fatin Nur Majdina. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa siasatan dan hukuman segera dilakukan terhadap guru yang didakwa menormalisasikan perbuatan gangguan seksual terhadap pelajar sekolah.

Naib Presiden (Hal Ehwal Wanita), Fatin Nur Majdina Nordin berkata, pihak berkuasa dan kementerian terbabit juga perlu mengeluarkan kenyataan segera bagi menunjukkan sikap mereka terhadap perkara tersebut.

Menurutnya, perbuatan guru tersebut jelas tidak profesional dan bertentangan dengan etika kerja yang sepatutnya diamalkan oleh seseorang individu yang matang.

“Justeru perilaku ini tidak seharusnya dijustifikasikan atas apa-apa dalih atau alasan sekalipun.

“Atas sebab itu, ABIM menggesa tindakan secara tuntas yang dimulai daripada siasatan sehingga hukuman dilaksanakan dengan segera. Pihak berkuasa serta kementerian berkenaan perlu mengeluarkan penyataan sikap dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Ahad lalu, tular satu video berdurasi 59 saat memaparkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.

Menurut pelajar itu, kejadian berlaku ketika kelas Pendidikan Jasmani dan topik perbincangan berkaitan kesedaran gangguan seksual dan cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Bagaimanapun dakwanya, sesi pembelajaran bertukar sebaliknya apabila guru terbabit mula membuat jenaka lucah berkaitan rogol.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, bapa kepada pelajar terbabit mendedahkan bahawa anaknya menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya kerana merasakan tindakan pelajar perempuan tersebut telah memalukan nama baik sekolah dan mengaibkan guru tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa guru galak perbuatan rogol

'Anak saya terima ugutan rogol'

Mengulas lanjut, Fatin berkata, pengamatan yang dilakukan ABIM di media sosial terhadap kejadian tersebut juga mendapati terdapat gangguan seksual yang berlaku dalam bentuk komen yang seakan-akan ingin menormalisasikan perkara berkenaan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual dapat dibentangkan untuk dilaksanakan dengan segera bagi membasmi budaya buruk itu daripada menjadi barah dalam masyarakat.

“Atas kesedaran ini, ABIM menggesa semua pihak termasuk pihak majikan, pimpinan organisasi, pentadbir sekolah dan orang awam berperanan untuk menyedarkan peri pentingnya RUU ini untuk menghalang normalisasi terhadap gangguan seksual daripada berakar dan merosakkan citra murni pembinaan bangsa Malaysia,” katanya.