Sembilan kawasan dikenakan PKPD bermula Khamis

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sembilan kawasan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis dengan tujuh daripadanya terletak di kawasan penempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kawasan tersebut adalah di Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) Machang, Kelantan dan Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan.

“Selain itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub, Pahang.

“Penempatan yang terlibat adalah Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail berkata, kesemua kawasan tersebut akan dikenakan PKPD bermula 29 April sehingga 12 Mei 2021.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan pelaksanaan PKPD di dua kawasan iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang pada Rabu.

Katanya, penamatan di kawasan tersebut merupakan dua hari lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada 30 April 2021.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 295 individu ditahan pada Selasa atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan 288 daripadanya dikompaun, manakala tujuh lagi direman.

Artikel Berkaitan:

“Kesalahan tertinggi yang dikesan ialah gagal merekod diri dan daftar masuk premis iaitu sebanyak 175 diikuti Tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (empat), tiada penjarakan fizikal (empat), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (dua) dan lain-lain (39).

“Operasi Benteng (Op Benteng) pada Selasa juga telah menangkap tiga orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat empat buah kenderaan darat. Sebanyak 159 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam enam aktiviti penglihatan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, seramai 817 individu yang tiba di semua pintu masuk dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara pada Selasa.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 187,540 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,712 individu telah dikuarantin dan 178,153 orang dibenarkan pulang manakala 1,675 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Bagi saringan pekerja asing pula, Ismail memaklumkan seramai 668 warga asing telah menjalani ujian saringan pada Selasa dan daripada jumlah itu, dua orang didapati positif Covid-19.

Menurutnya, secara keseluruhan secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 690,845 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan covid-19 dengan penglibatan sebanyak 35,679 majikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,235 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 680,610 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,544 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya.